❤ welcome to cintayangbertahmid.blogspot.com ❤ anyone who can bow to Allah can stand up to anything ❤

PUISI ORANG HEBAT

 
[Puisi Orang Hebat] 

Melihat orang lain punya kelebihan dan kau turut ingin menjadi sama.

Tetapi hakikatnya kau sudahpun cukup hebat,
Kerana belum tentu orang yang ada kelebihan itu mampu berdiri di kakimu,
Ketika dia mengambil posisi hidupmu secara realiti di sini,
Hebat orang itu bukan dihitung pada lebihnya dia dalam ilmu, bakat dan bicara,
Hebat itu letaknya di minda dan mental manusia.

Manusia terkuat dan terhebat adalah yang paling kuat mental dan mindanya,
Walau diuji tetap berdiri meski tidak punya apa-apa di sisi,
Orang hebat ialah orang yang mendapatkan kejayaan di saat konteks realitinya berbeza arus dengan konten keinginan untuk mencapai impian.  

**

★ Orang hebat ialah orang yang ingin menunaikan haji di Mekah tetapi tidak berkemampuan dari sudut keewangan. Realitinya orang tersebut tidak mampu secara keewangan, maka beliau berusaha mengumpul wang sehingga cita-citanya ke Tanah Haram tercapai dengan penat lelah dan kesungguhan.

★ Orang hebat ialah orang cacat yang ingin membantu kedua-dua orang tua meskipun tidak mempunyai anggota atau akal fikiran yang sempurna untuk menyara kehidupan keluarga. Beliau bertungkus-lumus berdikari meskipun keadaan diri berlawanan dengan keupayaan fizikal & mental secara logik.

★ Orang hebat ialah orang yang tidak mampu untuk bersekolah tinggi tetapi mempunyai cita-cita untuk menjadi kaya meskipun hidupnya dikelilingi orang-orang miskin yang sering kali kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

★ Orang hebat ialah orang yang diperkecil oleh keluarga dan sahabat handai untuk maju dalam kehidupan tetapi tetap meneruskan cita-cita meskipun dihujani kegagalan yang bertimpa-timpa untuk meneruskan impian.

★ Orang hebat ialah orang yang ingin menuntut ilmu agama, berhijrah secara fitrah kepada Allah pada saat kehidupannya porak peranda, dikelilingi pula anggota keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan yang terpesong secara jelas dari jalan-Nya.

Orang hebat tidak ditafsirkan sebagai orang yang berjaya menunaikan haji ke Mekah kerana sudah sejak azali hidup dalam keluarga berada, orang yang sempurna mental, fizikal yang mampu mencari nafkah untuk keluarga tanpa cacat anggota, orang yang berkebolehan belajar tinggi sehingga ke luar negeri, orang yang sentiasa diberi sokongan moral untuk merealisasikan cita-cita, orang yang lahir dalam kelompok keluarga ulama, 'alim, abid dan asatizah yang menyertai jemaah untuk sentiasa dekat dengan Allah.

● Orang hebat ialah orang yang paling kuat jiwanya sehingga berjaya mencapai kejayaan di sebalik rintangan yang pelbagai dengan segala macam bentuk kekurangan.

● Orang hebat ialah orang yang melakukan perkara-perkara biasa sehingga menjadi luar biasa. Ia tidak perlu bermula dengan perkara luar biasa, sebaliknya perkara biasa yang akhirnya menjadi luar biasa.

Tidak perlu menjadi burung sedangkan diri merupakan itik.
Tidak perlu menjadi kuda sedangkan diri ialah kancil.

◆ Jadilah itik yang pandai berenang sehingga tidak perlu menjadi burung untuk menyeberang lautan.
◆ Jadilah kancil yang bijak melepaskan diri berbanding berharap menjadi kuda yang pantas berlari ketika dikejar haiwan pemangsa.

Hebat tidak didefinisikan sebagai kejayaan pada saat kita dilengkapi pelbagai kemudahan. Hebat ialah kejayaan yang dicapai di luar konteks keselesaan meskipun bertemankan banyak kekurangan.

Menguntai bicara definisi hebat, Tuhan turut berfirman dalam surat cinta-Nya: 
"Sesungguhnya Tuhan tidak memandang fizikal dan harta kamu tetapi Tuhan memandang pada hati kamu."

Hebat itu letaknya di hati dan jiwa yang kuat.

Di sebalik rintangan yang amat dahsyat, jiwa mampu bertahan untuk mencapai dan mengekalkan kejayaan di dunia untuk alam selepasnya.

**

Definisi orang hebat itu tidaklah terletak pada kebijaksanaannya menguasai duniawi, kepintarannya dalam akademik, kepopularitiannya persis selebriti, kekuatannya ibarat tidak pernah kalah sekiranya digusti dan kemegahannya yang tampak sempurna peribadi sejak azali.

Definisi orang hebat itu adalah seperti mentari yang kembali menyinar setelah petir dan kilat menghentam diri.

Definisi orang hebat itu ialah tampil ke hadapan setelah ditolak ke tepi oleh pusuan orang ramai yang berasak-asak ke belakang, ke kanan dan ke kiri.

Definisi orang hebat itu ialah melontarkan buah tatkala menjadi pohon yang sentiasa dibaling batu dan tahi.

Orang hebat itu ibarat pelangi. Hadirnya mewarnai, perginya dirindui. 
Karakternya jarang ditemui kerana hanya didapati setelah langit gelap menurunkan hujan yang menimpa bumi.

Orang hebat tidaklah hebat jika tidak pernah lumpuh dalam perjalanan menuju kejayaan apatah lagi di persisiran kuala menuju Tuhan, jika tidak pernah dibaling nista dengan sebarang tindakan luar biasa yang dicipta dan sekiranya tidak pernah merasai betapa luka dalamnya hati ini tersungkur tatkala menaiki tangga.

Orang hebat ialah mereka yang terus bangkit dan tetap meneruskan perjalanan walau di tengah-tengah lautan, kapal karam dan ribut melanda bersama taufan.

Di tengah kesulitan itu, dia menjadi pelangi yang melempiaskan warna-warna matahari, tidak menghiraukan hujan yang menghalang pandangan nurani.

Itulah definisi orang hebat...
Buatku.

Mari menjadi hebat untuk diri sendiri!
Cukuplah dengan cara bagaimana anda meletakkan definisi hebat itu sendiri :)

Waallahua'lam. 

**

wardahfilzatunnafsi
kitahebat
insyaAllah! 

♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

1 comment:

Copyright@All right reserved by Wardah Filzatunnafsi