❤ welcome to cintayangbertahmid.blogspot.com ❤ anyone who can bow to Allah can stand up to anything ❤

PUISI ORANG HEBAT

 
[Puisi Orang Hebat] 

Melihat orang lain punya kelebihan dan kau turut ingin menjadi sama.

Tetapi hakikatnya kau sudahpun cukup hebat,
Kerana belum tentu orang yang ada kelebihan itu mampu berdiri di kakimu,
Ketika dia mengambil posisi hidupmu secara realiti di sini,
Hebat orang itu bukan dihitung pada lebihnya dia dalam ilmu, bakat dan bicara,
Hebat itu letaknya di minda dan mental manusia.

Manusia terkuat dan terhebat adalah yang paling kuat mental dan mindanya,
Walau diuji tetap berdiri meski tidak punya apa-apa di sisi,
Orang hebat ialah orang yang mendapatkan kejayaan di saat konteks realitinya berbeza arus dengan konten keinginan untuk mencapai impian.  

**

★ Orang hebat ialah orang yang ingin menunaikan haji di Mekah tetapi tidak berkemampuan dari sudut keewangan. Realitinya orang tersebut tidak mampu secara keewangan, maka beliau berusaha mengumpul wang sehingga cita-citanya ke Tanah Haram tercapai dengan penat lelah dan kesungguhan.

★ Orang hebat ialah orang cacat yang ingin membantu kedua-dua orang tua meskipun tidak mempunyai anggota atau akal fikiran yang sempurna untuk menyara kehidupan keluarga. Beliau bertungkus-lumus berdikari meskipun keadaan diri berlawanan dengan keupayaan fizikal & mental secara logik.

★ Orang hebat ialah orang yang tidak mampu untuk bersekolah tinggi tetapi mempunyai cita-cita untuk menjadi kaya meskipun hidupnya dikelilingi orang-orang miskin yang sering kali kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

★ Orang hebat ialah orang yang diperkecil oleh keluarga dan sahabat handai untuk maju dalam kehidupan tetapi tetap meneruskan cita-cita meskipun dihujani kegagalan yang bertimpa-timpa untuk meneruskan impian.

★ Orang hebat ialah orang yang ingin menuntut ilmu agama, berhijrah secara fitrah kepada Allah pada saat kehidupannya porak peranda, dikelilingi pula anggota keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan yang terpesong secara jelas dari jalan-Nya.

Orang hebat tidak ditafsirkan sebagai orang yang berjaya menunaikan haji ke Mekah kerana sudah sejak azali hidup dalam keluarga berada, orang yang sempurna mental, fizikal yang mampu mencari nafkah untuk keluarga tanpa cacat anggota, orang yang berkebolehan belajar tinggi sehingga ke luar negeri, orang yang sentiasa diberi sokongan moral untuk merealisasikan cita-cita, orang yang lahir dalam kelompok keluarga ulama, 'alim, abid dan asatizah yang menyertai jemaah untuk sentiasa dekat dengan Allah.

● Orang hebat ialah orang yang paling kuat jiwanya sehingga berjaya mencapai kejayaan di sebalik rintangan yang pelbagai dengan segala macam bentuk kekurangan.

● Orang hebat ialah orang yang melakukan perkara-perkara biasa sehingga menjadi luar biasa. Ia tidak perlu bermula dengan perkara luar biasa, sebaliknya perkara biasa yang akhirnya menjadi luar biasa.

Tidak perlu menjadi burung sedangkan diri merupakan itik.
Tidak perlu menjadi kuda sedangkan diri ialah kancil.

◆ Jadilah itik yang pandai berenang sehingga tidak perlu menjadi burung untuk menyeberang lautan.
◆ Jadilah kancil yang bijak melepaskan diri berbanding berharap menjadi kuda yang pantas berlari ketika dikejar haiwan pemangsa.

Hebat tidak didefinisikan sebagai kejayaan pada saat kita dilengkapi pelbagai kemudahan. Hebat ialah kejayaan yang dicapai di luar konteks keselesaan meskipun bertemankan banyak kekurangan.

Menguntai bicara definisi hebat, Tuhan turut berfirman dalam surat cinta-Nya: 
"Sesungguhnya Tuhan tidak memandang fizikal dan harta kamu tetapi Tuhan memandang pada hati kamu."

Hebat itu letaknya di hati dan jiwa yang kuat.

Di sebalik rintangan yang amat dahsyat, jiwa mampu bertahan untuk mencapai dan mengekalkan kejayaan di dunia untuk alam selepasnya.

**

Definisi orang hebat itu tidaklah terletak pada kebijaksanaannya menguasai duniawi, kepintarannya dalam akademik, kepopularitiannya persis selebriti, kekuatannya ibarat tidak pernah kalah sekiranya digusti dan kemegahannya yang tampak sempurna peribadi sejak azali.

Definisi orang hebat itu adalah seperti mentari yang kembali menyinar setelah petir dan kilat menghentam diri.

Definisi orang hebat itu ialah tampil ke hadapan setelah ditolak ke tepi oleh pusuan orang ramai yang berasak-asak ke belakang, ke kanan dan ke kiri.

Definisi orang hebat itu ialah melontarkan buah tatkala menjadi pohon yang sentiasa dibaling batu dan tahi.

Orang hebat itu ibarat pelangi. Hadirnya mewarnai, perginya dirindui. 
Karakternya jarang ditemui kerana hanya didapati setelah langit gelap menurunkan hujan yang menimpa bumi.

Orang hebat tidaklah hebat jika tidak pernah lumpuh dalam perjalanan menuju kejayaan apatah lagi di persisiran kuala menuju Tuhan, jika tidak pernah dibaling nista dengan sebarang tindakan luar biasa yang dicipta dan sekiranya tidak pernah merasai betapa luka dalamnya hati ini tersungkur tatkala menaiki tangga.

Orang hebat ialah mereka yang terus bangkit dan tetap meneruskan perjalanan walau di tengah-tengah lautan, kapal karam dan ribut melanda bersama taufan.

Di tengah kesulitan itu, dia menjadi pelangi yang melempiaskan warna-warna matahari, tidak menghiraukan hujan yang menghalang pandangan nurani.

Itulah definisi orang hebat...
Buatku.

Mari menjadi hebat untuk diri sendiri!
Cukuplah dengan cara bagaimana anda meletakkan definisi hebat itu sendiri :)

Waallahua'lam. 

**

wardahfilzatunnafsi
kitahebat
insyaAllah! 

♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

WARKAH BUAT ADAM; APABILA MUSLIMAH JATUH HATI


Warkah Buat Adam; Apabila Muslimah Jatuh Hati

Warkah buatmu kaum Adam,
Penulisan ini bukan kerana nama,
Malah bukan kerana harta,
Tetapi hanyalah semata-mata kerana Rabbuna,
Bukan sekadar coretan bahasa,
 Tetapi untuk meluahkan rasa,
Setiap mahkota hati wanita,
Pasti disinggahi perasaan ini,
Cuma ia berbeza,
 Dari kaca mata seorang wanita,
Dengan pandangan seorang muslimah,
Tindakan, perilaku dan bicaranya berbeza,
Jika mata hati yang diguna,
 Temuilah kau akan perbezaanya,
 Bilamana wanita jatuh cinta,
Berbanding muslimah yang bergelar mukminah,
Sedang jatuh hati...

Warkah buatmu kaum Adam,
Aku tidak tahu apa yang terbentang di fikiranmu,
Aku juga tidak tahu apa yang berkisar di dadamu,
Namun janganlah kaupandang serong,
Terhadap penulisan ini,
Kerana aku tetap dengan pendirianku,
Bertemankan Allah swt sebagai saksi,
Pohonku kepada Illahi semoga kau akan bacanya,
Untuk ketahui isi hati yang terlipat halus di benak naluri,
Di hati kecil seorang insan bernama muslimah,
Semoga diri ini menjadi mukminah.

Wahai Adam,
Ketahuilah...

Di saat kaubaca warkah ini,
Aku telahpun membawa diri,
Dengan langkah yang sejauh-jauhnya darimu,
Di saat kaubaca warkah ini,
Adalah amat mustahil untuk kautemuiku semula,
Bahkan mungkin aku bakal lenyap dan lesap,
Dari pandangan matamu buat selama-lamanya,
Kecuali setelah dengan izin-Nya,
Hatiku terawat dengan balutan luka,
 Yang diikat seerat-eratnya,
Mungkin tidak akan pernah terbuka lagi ikatan ini,
Untuk menghadirkan kau di sudut hati,
Maka dengan perlahan-lahan aku bakal muncul,
Menjadikan kauteman seperjuangan seperti lazimnya.

Wahai Adam,
Ketahuilah...

Di saat kaubaca warkah ini,
Air mataku jatuh perlahan-lahan,
 Menahan sebak yang menikam-nikam perasaan,
Membasahi kelopak mata yang kering dengan air salju,
Begenang dan terus bergenang sambil jari-jemariku melayari penulisan ini,
Bergelinangan, berguguran dan kini air peraduan ini yang menjadi peneman...

Namun ketahuilah...
Setitis demi setitis air mata ini,
Menjahit lubang-lubang kecil yang terluka di sudut perasaan,
Biar meninggalkan bekas pada hatiku yang terkesan,
Allah swt masih di sisiku,
Dengan air mata ini Dia mengubat pedih-pedih di jiwa,
Tatkalaku lantunkan zikir-zikir memuja nama-Nya,
Kerana itu kuperlu kuatkan azam dan semangatku,
Melukiskan cinta dalam diamku,
Berakhirnya warkah ini kutuliskan untukmu,
Warkah khas buatmu.

Wahai Adam,
Ketahuilah bezanya perempuan dengan muslimah,
Ketahuilah bezanya permata yang disimpan di balang kaca itu,
Berbanding kaca yang bersepah di lantai,
Walaupun hakikatnya nampak sama,
Tetapi jauh sekali istilah dan fikrahnya berbeza,
Namun ketahuilah wahai makhluk pembimbing yang memimpin,
Tetap ada bezanya antara cinta seorang wanita,
Yang sekadar bergelar perempuan,
Berbanding salju sakinah bernama muslimah.

Wahai Adam,
Ketahuilah bezanya cinta mengikut fitrah,
 Dengan cinta yang berhulukan dan berpandukan nafsu yang serakah,
Ketahuilah telahku cuba sebagai muslimah memendam rasa,
Mengalirkan cinta dan hati ini mengikut aliran yang sepatutnya,
Namun hati kecil ini amat mudah tersentuh dan rapuh saat disentuh,
Sedangkan Saidatina Khadijah sendiri melamar Rasulullah saw...

Maka menurutku wahai Adam,
Salahkah kuberbuat begini?
Untuk menyampaikan hasrat yang terpendam di sudut hati?

Namun jangan kaukhuatir...
Penulisan ini hanya sekadar coretan,
Penulisan ini hanya sekadar lembaran,
Aku sekadar wakil, perantara,
Bagi hati-hati muslimah yang berada di luar sana,
Menyampaikan larut-larut bacaan makhkota hati seorang insan,
Yang tatkala ini sedang mendambakan kasih yang tak kunjung datang,
Yang tatkala ini sedang cuba menanam cinta Illahi dalam hati,
Menyemai mawaddah usrati jannati,
Kerana dia tahu Allah swt berada di sisi,
Berbicara dengannya tatkala solat, doa, zikir sebagai penawar hati.

Namun harus kautahu bilamana muslimah jatuh cinta,
Dia tidak akan pernah sesekali membutirkan bicara,
Mengenai rasa yang dipendamkannya,
Malah mahu kautahu kenapa wahai Adam?
Kerana jauh di dasar qalbu,
Dia amat takut sekali kau tersungkur dicedera rindu,
Dia amat bimbang sekali imanmu goyah,
 Dihasut dan didorong bisikan iblis dan nafsu,
Dia amat khuatir kauhanyut dibawa bait-bait cinta palsu,
Dia amat gusar ibadahmu terganggu,
Langkahmu terjerumus, 
Diseliputi kabus wahan yang menebal di qalbu.

Oleh itu, dia mengambil keputusan,
Untuk membicarakan cinta hanya sekadar di jiwa,
Namun sesekali tidak dia melafazkan,
Sesekali tidak dia memaparkan padamu melalui tindakan,
Kerana dia tahu hadirnya nanti,
Tidak mampu menghalang iblis dan nafsu merajai hati,
Bimbang mungkin meruntuhkan tembok keimanan yang telah kaubina,
Bertahun lamanya sebagai jambatan menuju ke syurga.

Mahu kautahu kaum Adam?
Bilamana muslimah jatuh cinta?

Tatkala dia tahu hatinya sudah terpaut padamu,
Dia akan pelihara tawaduk sebagai perisai mutiara jiwa,
Tatkala dia tahu hatinya sedang diikat dengan simpulan cinta,
Tidak sesekali matanya berani menatap matamu,
Biarpun pada semua muslimin dia melakukan hal ini,
Kerana telah tersusun letaknya muslimah itu,
Harus menjaga pekerti sebagai perhiasan dunia,
Namun padamu dia lebih malu,
Namun padamu dia lebih kaku,
Dia bimbang jika panahan syaitan menusuk dari mata ke mata,
Maka dia tundukkan pandangan matanya,
Padamu sangat sukar untuk dia mulakan bicara,
Diam lebih bernilai daripada berkata perkara yang lagha,
Jika kaulangkah setapak mendekatinya,
Digerakkan seribu langkah berusaha gigih menjauhimu.

Kautahu mengapa dia lakukan hal ini wahai Adam?
Kerana dia mahu memelihara imanmu,
Kerana dia mahu menjaga pandangan matamu,
Mana mungkin dibiarkan kau diselebungi debu dosa akibat zina mata,
Kerana dia mahu kaujaga bicaramu,
Mana mungkin dibiarkan kaumulakan bicara dusta tatkala hati diseliputi cinta,
Dia mahu kau hanya lontarkan ilmu berfaedah,
Menggunakan akal yang dikurniakan Allah,
Jangan pada nafsu mudah kauserah,
Dia mahu kaujaga lidah yang hanya basah,
 Melantunkan zikir tatkala atas sejadah,
Dia mahu kauhindari diri daripada zina hati,
Kerana dia tahu wahai Adam...

Adam yang sempurna akalnya pasti banyak berdiam diri daripada berkata-kata...
Adam yang soleh hanya akan menetapkan cinta pada Illahi cuma...

Dia mahu kaupelihara akhlakmu,
Mana mungkin dibiarkan kaudekatinya terlebih dahulu,
Tanpa hubungan yang halal dan sah,
Mana mungkin diletakkan dikau di tempat yang alpa,
Menodamu dengan cinta palsu dunia,
Dia tidak mahu kaugodanya,
 Melalui jalan yang tidak diredhai Pencipta,
Jika benar kaumahu menghampiri,
Menjadikan dia suri di hati,
Bukan dirinya yang harus kaudekati,
Tetapi wali sebagai pengganti.

Wahai Adam,
Saat muslimah ini cuba meyakinkan kau hanya rakan baginya,
Saat kau sudah mula menyoal dan mencuriga,
Dia cuba membohongi perasaannya sendiri,
Berusaha sedaya upaya menghindari zina hati,
Hakikatnya dia tidak mahu merosakkanmu,
Lantas dijauhi mainan percintaan tanpa ikatan,
Dia amat bimbang kau terjebak suka,
Andai benar kau juga memendam rasa,
Rasa yang sama dengannya.

Dia mahu melindungimu, aqidahmu dan imanmu,
 Yang telah lama dibina atas dasar takwa,
Maka sehingga kini dia pendam,
Cintai dikau hanya dalam diam.

Wahai Adam,
Ketahuilah muslimah ini amat sukar jatuh cinta,
Diserahkan cintanya hanya kepada yang Maha Memiliki cinta cuma,
Namun di saat kausentuh hatinya perlahan-lahan,
Dia sedar betapa sakitnya hati ini seperti dicucuk-cucuk duri yang tersembunyi,
Dia sedar betapa setiap langkah perbuatannya,
Sering kali munculnya namamu sebagai pendorong kebajikan di hati.

Sudah berkali-kali dia memohon pada Illahi,
Supaya menunjukkan jalan yang diredhai,
Dengan istikharah yang dijalaninya hari-hari,
Kautahu dia lakukan istikharah ini sebagai tasbih rutin harian,
Namun baginya kau masih tetap dalam bayangan,
Bukan wajahmu yang muncul di fikiran tetapi hanya sekadar nama,
Bahkan ibrah dan segala amalan murni yang kauamalkan dalam hidup,
Menjadi bekalan untuk dia mempertingkat amalan kerana Allah,
Kerana kau diibaratkan sebuah enjin kenderaan,
 Yang menggerakkan roda hati untuk lebih mencintai Illahi.

Wahai Adam, tahukah kau?
Tatkala kau juga memaparkan sedikit demi sedikit,
Mengenai tingkah lakumu,
 Yang seakan-akan menyimpan perasaan yang sama terhadapnya,
Muslimah itu sudah mulai bimbang,
Tatkala kau sudah membutirkan bicara,
Seolah-olah kau juga mahukan dia berada di takhta jiwa,
Muslimah itu sudah menjadi risau,
Tatkala kaumulai berpaut pada butir-butir hikmahnya,
Muslimah itu sudah bertambah rungsing,
Dia berasa sangat malu, menyesal dan berdosa,
Jika benar kau turut tertawan padanya,
Di hadapan Tuhannya yang Agung lagi Maha Bijaksana,
Dia merasakan dirinya jijik dan hina,
Dia bimbang imanmu goyah,
Dia risau akhlak muliamu beransur-ansur tidak lagi bakal kauhirau,
Dia rungsing kau tersungkur dipukul badai cinta,
Yang nyata belum halal buatmu dan dia.

Jika benar kau turut menyimpan rasa yang sama,
Dia mohon pengharapan dalam setiap larut doa tahajudnya,
Semoga kau terus bersabar dan menunggu waktu yang tepat,
Saat yang sesuai untuk mencurahkan rasa,
Semoga dirinya bukan penyebab imanmu goyah,
Semoga dirinya bukan penyebab akalmu lemah,
Sebaliknya menambah kasih mawaddah,
Dalam menuju gerbang mardathillah.

Jika benar kau sudah tertawan padanya,
Dia membulatkan tekad bakal undur diri,
Dia rela mengorbankan cinta kerana mahu kaujaga hati,
Dia rela mengorbankan perasaan demi meraih cinta hakiki, cinta Illahi,
Selangkah demi selangkah tanpa kausedari,
Dia semakin hilang dari pandangan,
Bukan kerana mahu menjauhimu,
Mengelak untuk berteman denganmu,
Tetapi ketahuilah...
Niat muslimah itu cuma satu,
Iaitu mahu memelihara imanmu.

Wahai Adam,
Mahukah kautahu mengapa dia menjauh?
 Setelah menyerahkan warkah ini padamu?
Kerana dia merasakan diri ini tidak pernah layak untukmu,
Yang sememangnya berakhlak mulia,
Yang sentiasa menetapkan cinta kepada-Nya,
Kerana dia sudah menggambarkan perasaan malu, Sekiranya kautolak perasaan ini secara sukarela,
Kerana dia sebenarnya mahu kau muhasabah diri kembali,
Mendekatkan jiwa kepada Illahi.

Tahukah kau wahai Adam?
Boleh jadi namamu sering kali dititipkannya,
 Dalam tahajud, rawatib, istikharah mahupun taubat,
Semoga imanmu bertambah kukuh,
Semoga disemai kasih RABBAL IZZATI yang utuh.

Wahai Adam,
Ketahuilah,
Perbezaan-perbezaan ini...

Di saat wanita jatuh cinta,
Dia amat mendambakan dikau juga,
 Turut mempunyai perasaan yang sama,
Dia teringin sekali kau turut tergoda,
Tertawan hati padanya jua.

Namun jika muslimah jatuh hati,
Tidak pernah sesekali,
Dia mengharap kau bakal mencintainya kembali,
Malah dia berusaha menjauhkan diri,
Kerana mahu mengelakkan zina hati,
Kerana mahu memelihara imanmu sebagai Muslim sejati,
Kerana dia mahu kaukukuhkan cintamu pada Allah terlebih dahulu,
Sebelum menyerahkan cintamu pada lawan halal bagimu.

Wahai Adam,
Ketahuilah bilamana muslimah jatuh hati,
Cintanya akan terisi dengan cahaya Illahi,
Disamping dia mencintaimu,
Dia turut mempertingkat cintanya pada Allah yang Esa,
Dia tidak akan pernah berhenti,
Memohon hajat dan mengadu kasih pada Illahi,
Semoga jika kau turut menyimpan rasa suka,
Temukanlah kau dan dia,
 Dalam sebuah ikatan yang halah dan diredhai-Nya.

Tetapi sebaliknya,
Jika kau kontra dalam rasa cinta yang dicita-citakannya,
Dia juga tidak akan pernah berputus asa dalam berdoa,
Semoga Allah akan menemukannya,
Dengan laki-laki yang sekufu dengannya,
Yang seindah akhlak dan secantik budi pekertimu,
Atau mungkin seseorang yang lebih baik daripadamu,
Sebagai serikandi hidup buatnya kelak di duniawi dan syurgawi.

Ketahuilah wahai lelaki,
 Yang gelarannya tulang rusuk kiri,
Muslimah ini amat sukar jatuh cinta,
Bilamana hatinya sudah mulai berpaut padamu,
Dia tidak pernah nyatakan rasa ini kepada sesiapa,
Dia hanya diamkan sahaja,
Melainkan hanya bergantung harap pada Sang Pencipta,
Menceritakan hasrat murni ini kepada-Nya cuma,
Sehinggalah kaubaca isi surat ini dan ketahui petanda,
Di hati ini dia telah lama memendam rasa...

Bilamana muslimah jatuh hati,
Cintanya akan bermula dengan DIAM...
Jua berakhir secara DIAM...

Waallahua'lam.


♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

Copyright@All right reserved by Wardah Filzatunnafsi