❤ welcome to cintayangbertahmid.blogspot.com ❤ anyone who can bow to Allah can stand up to anything ❤

10 WASIAT IMAM HASSAN AL-BANNA

Basmallah.
I'm doodle addicted!

Alhamdulillah, ini adalah hasil doodle sementara menunggu masuknya waktu Asar berinspirasikan video 10 Wasiat Imam Hassan Al-Banna oleh ISMA Mesir yang ditonton ketika lipat kain. Sebaik sahaja lipat kain, tiba-tiba pula terasa nak melukis dan hasilkan artikel berkaitan video untuk catatan dan peringatan buat diri sendiri yang sentiasa alpa dan tidak terlepas daripada dosa :') 

Semoga bermanfaat buat semua!


[10 WASIAT IMAM HASSAN AL-BANNA]

1) Tunaikanlah solat di awal waktu

"Segeralah tunaikan solat apabila saudara mendengar azan walaubagaimanapun keadaan saudara." wasiat Imam Hassan Al-Banna yang pertama.

Wasiat pertama ini menerangkan perihal pentingnya seorang Muslim itu untuk solat pada awal waktu kerana solat merupakan sumber kejayaan dan pertolongan daripada Allah. Solat di sisi Islam terletak di tempat yang pertama, mengatasi segala yang lain.

Rasulullah saw pernah ditanya: 
"Apakah amalan yang paling mulia?" 

Baginda menjawab: 
"Solat di awal waktu, berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa dan berjihad di jalan Allah swt."

"Dan orang-orang yang memelihara solatnya, mereka itulah yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka akan kekal di dalamnya" 
(Surah Al-Mukminun; ayat 10-11)

Sabda Rasulullah saw: 
"Cukup sudah bagi mukmin sebagai suatu kecelakaan dan kerugian jika beliau mendengar azan memanggilnya untuk solat tetapi beliau tidak menyahutnya."

2) Selalulah membaca Quran, buku-buku, mendengar ceramah agama, berzikrullah dan jangan membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah

"Baca, tela'ah (kaji) dan dengarkanlah Al-Quran atau berzikirlah kepada Allah dan jangan engkau menghabiskan waktumu dengan perkara-perkara yang tiada manfaatnya." wasiat Imam Hassan Al-Banna yang kedua.

Wasiat kedua ini menerangkan mengenai kepentingan mempertingkat daya faham umat Islam melalui bacaan Al-Quran, buku-buku, mendengar ceramah agama dan mengamalkan zikrullah supaya umat Islam tidak membazirkan waktunya walau sedikitpun dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." 
(Surah Al-Asr; ayat 1-3)

Seorang Muslim sangat memelihara masanya. Masa itu ialah kehidupan. Dia mengatur masanya dengan teliti supaya tidak menjadi golongan orang yang rugi. Setiap detiknya mencari pahala dan redha Allah. Bacaan Al-Quran dan zikrullah menjadi teman sejati kerana ia merupakan panduan, peringatan dan penawar kehidupannya.

"Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya tentang datangnya dari Allah swt dan tentang sempurnanya ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang hendak bertakwa."
(Surah Al-Baqarah, ayat 2)

"Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata: "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka. Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorangpun penolong."
 (Surah Ali-Imran; ayat 191-192)

3) Berusaha untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah (betul)

"Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah (bahasa Arab yang betul) kerana bahasa Arab yang betul ialah syiar Islam." wasiat Imam Hassan Al-Banna yang ketiga.

Wasiat ketiga ini menerangkan betapa perlunya seorang Muslim menguasai bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab merupakan bahasa syurga, bahasa pertuturan Rasulullah saw, bahasa Al-Quran dan juga bahasa yang digunakan dalam solat.

"Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab supaya kamu menggunakan akal untuk memahaminya." 
(Surah Yusuf, ayat 2)

"Pelajarilah bahasa Arab kerana ia sebahagian daripada agama kamu." 
(Umar Al-Khattab)

4) Jangan banyak bertengkar

"Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran kosong itu tidak memberi apapun jua kebaikan." wasiat Imam Hassan Al-Banna yang keempat.

Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran kosong itu tidak memberi sebarang apapun jua kebaikan. Khilaf ialah suatu perkara yang pasti tidak dapat dielakkan. Selagimana perkara tersebut berada dalam lingkungan perkara yang ranting serta dibolehkan untuk berbeza pendapat, maka hendaklah kita berlapang dada. Sebaliknya umat Islam perlulah sentiasa bersatu padu dan sepakat dalam perkara-perkara asas. Amat penting dalam keadaan umat sekarang, perlunya untuk kita jelas agenda perjuangan kita yang sebenar dan berusaha ke arah tersebut serta mencari titik persepakatan. InsyaAllah, Islam pasti akan bangkit suatu hari nanti :)

Diriwayatkan dari Abu Umamah r.a, baginda bersabda:
"Tidaklah sesat suatu kaum setelah mendapat petunjuk kecuali kerana mereka gemar berdebat."
 (HR Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Hakim)

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." 
(Surah An-Nahlu, ayat 125)

"Say No To Jidal!"

"Aku ketua dalam satu rumah di pinggir syurga bagi mereka yang meninggalkan perdebatan dalam keadaan dia benar dan rumah di tengah-tengah syurga bagi mereka yang tidak berbohong, walaupun ketika bergurau dan rumah di syurga yang tertinggi bagi mereka yang elok perjalanan hidupnya." 
(HR Tirmizi)

5) Jangan terlalu banyak ketawa

"Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram." wasiat Imam Hassan Al-Banna yang kelima.

Wasiat ini menerangkan tentang bahananya ketawa berlebihan kerana dengan banyaknya ketawa akan menyebabkan matinya hati. 

Sepertimana sabda Rasulullah saw:
"كثير ضحاك تميت القلوب "

Maksudnya: 
"Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya dengan banyak ketawa, ianya akan mematikan hati kamu." 
(HR Ibnu Majah)

Kita sebagai umat Islam yang mengimpikan kemenangan Islam, haruslah kurang bergurau senda yang berlebihan dan tingkatkan lagi perbincangan tentang perkara-perkara yang membawa faedah kepada ummah.

Rasulullah saw bersabda: 
"Banyak ketawa mematikan hati."

Salahuddin Al-Ayubi apabila ditanya tentang keseriusan, beliau menjawab:
 "Bagaimana mungkin aku ketawa sedangkan masjid Al-Aqsa masih berada bawah cengkaman musuh, berada dalam tawanan?"

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi saw bersabda:
 "Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya dengan banyak ketawa ianya akan mematikan hati kamu." 
(HR Ibnu Majah)

6) Jangan banyak bergurau, sebaliknya bersungguh-sungguhlah

"Janganlah terlalu banyak bergurau kerana orang Islam yang sedang berjuang tidak mengenal erti bergurau melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara." wasiat Imam Hassan Al-Banna yang keenam.

Wahai saudaraku,
Seriuslah selalu dan berguraulah dengan seadanya.
Tanpa keseriusan, hilanglah kesungguhan. 
Tanpa gurauan, tawarlah kehidupan.

Wasiat keenam ini adalah tentang seharusnya umat yang sedang berjuang menjadi serius selalu dan tidak menghalang mereka bergurau pada masanya. Sepertimana sifat Rasulullah saw yang bergurau dengan para sahabat pada masa yang sesuai.

Kata seorang penyair: 
"Berikan kerehatan pada jiwamu yang sibuk berfikir dan ubatilah ia dengan bergurau. Tetapi jika ingin mengubatinya dengan bergurau, pastikan ia dalam batas seperti kamu masukkan garam ke dalam gulai."

7) Tidak bercakap meninggikan suara

Wasiat Imam Hasan Al-Banna yang ketujuh: 
Larangan Meninggikan Suara.

"Janganlah saudara bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh para pendengar kerana percakapan yang nyaring sebegitu ialah suatu resmi yang 
sia-sia malah menyakiti hati orang." wasiat Imam Hassan Al-Banna yang ketujuh.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu menyaringkan suara dengan lantang semasa bercakap dengannya sebagaimana sesetengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan sesetengahnya yang lain. Larangan yang demikian supaya amal-amal kamu tidak terhapus pahalanya sedang kamu tidak menyedarinya." 
(Surah Al-Hujurat, ayat 2)

8) Jauhi perbuatan mengumpat dan ghibah

"Jauhkan daripada membicarakan keaiban orang lain atau melukai mereka dalam bentuk apapun dan jangan berbicara kecuali yang baik." wasiat Imam Hassan Al-Banna yang kelapan.

Apabila seseorang itu kerap bermuhasabah, meneropong kesilapan dirinya sendiri, mereka akan kurang membicarakan mengenai aib orang lain. Dengan ini, terciptalah dunia yang aman.

Dalam pada itu, Ibnu Abi Najih r.a pula berkata: 

Ada seorang wanita pendek telah datang ke rumah Rasululllah saw. Setelah orang itu pulang, maka Aisyah r.a lalu berkata:
“Alangkah pendeknya wanita itu!”

Rasulullah saw terus menegur Aisyah dengan mengatakan: 
“Engkau ghibah.

 Aisyah segera menjawab:
 "Saya tidak menyebut melainkan yang sebenarnya ada padanya."

Tegas Rasulullah saw:
“Engkau telah menyebut perkara yang paling jelek padanya.”

Sepotong hadis Rasulullah saw menyebutkan bahawa:
 "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak. "

"Wa khuliqal insanu dha'ifan." - dan diciptakan manusia itu dalam keadaan daif.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain dan janganlah pula kamu memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruk sebutan fasik kepada seseorang sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya, maka merekalah orang-orang yang zalim."
(Surah Al-Hujurat, ayat 11)

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan supaya kamu tidak menyangka yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu merupakan dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Jika demikian keadaan mengumpat, maka sudah tentu kamu jijik padanya. Oleh itu, patuhilah larangan itu dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani." 
(Surah Al-Hujurat, ayat 12)

Baginda Rasulullah saw bersabda:
".. sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka katakanlah hal-hal yang baik atau lebih baik diam sahaja." 

9) Berkenal-kenalan sesama Muslim

"Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang." wasiat Imam Hassan Al-Banna yang kesembilan.

Manhaj Allah dalam Al-Quran sangat menitikberatkan hal ini, seperti firman Allah swt: 
“Wahai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.”
 (Surah Al-Hujurat, ayat 13)

10) Gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah pelaksanaannya

"Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu, gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya." wasiat Imam Hassan Al-Banna yang kesepuluh.

Imam Ali karamallahu wajhah pernah berkata tentang masa:
“Masa diciptakan untuk dimanfaatkan tubuh badan, menentukan cita-cita,  mendekatkan harapan dan mengingini keselamatan. Barangsiapa yang merebutnya, maka dia memperolehinya dan barangiapa yang mensia-siakannya, maka dia akan kepenatan. Wahai anak Adam, apakah yang telah diperolehi dari masa anda, sedangkan anda adalah penyimpan untuk orang lain?”

Ilham Doodle: Owh So Muslim
Ilham Artikel: 10 Wasiat Imam Hassan Al-Banna (ISMA Mesir)

♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

AL-FURQAN

Basmallah.
Moga bermanfaat :)

Ini lukisan lama,
Dilukis belakang album,
Dengan lidi.


"Mari sama-sama kita baca Quran secara berjemaah!"

Aiwah!
Walau satu huruf,
Walau satu ayat,
Walau hanya dalam solat,
Ayat Quran yang diingat,
Janganlah lupa baca Quran,
Walau sesibuk manapun dalam pekerjaan,
Jika kita ingat Allah waktu senang,
InsyaAllahAllah ingat kita waktu susah.

Sentap! Sentap melihat gambar di atas?
Baca Quran? InsyaAllah, ramai yang tahu baca Quran.
Hafal Quran? Allahu, ana sendiri masih merangkak menghafal Quran :'(

Malu pada Allah,
Malu pada Rasulullah saw.

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah saw:
 "Sesungguhnya hati ini berkarat sepertimana berkaratnya besi apabila terkena air." 

Seorang sahabat bertanya:
“Bagaimana menghapuskan karat tersebut?"

Jawab Nabi saw:
"Banyakkan menyebut mati dan membaca Al-Quran. Rumah yang jika dibaca di dalamnya Al-Quran akan dikunjungi para malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan adapun rumah yang tidak dibaca di dalamnya Al-Quran, dikunjungi para syaitan dan dijauhi para malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan."

Pernah suatu ketika seorang sahabat Rasulullah saw, Ibnu Masud didatangi oleh seorang lelaki yang raut wajahnya murung (berduka), lalu lelaki itu berkata: 

"Wahai Ibnu Mas'ud, berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapatku jadikan sebagai penawar untuk hatiku yang gelisah ini. Sejak akhir-akhir ini, perasaanku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut. Aku tidak selera hendak makan, tidurku pun tidak lena."

Mendengar itu, Ibnu Mas'ud terus berkata: 
"Sekiranya itulah penyakit yang menimpa jiwamu, maka hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu; tempat orang membaca Al-Quran sama ada kamu membacanya atau kamu mendengarnya. Kedua, majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah dan ketiga, carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada Allah SWT dengan khusyuk dan tulus ikhlas."

Al-Furqan,
Belalah kami di akhirat kelak,
Di bangku pengadilan,
Di kubur persinggahan,
Dengan hujahmu,
Dengan mukjizatmu,
Jadilah engkau hujah kepada kami,
Bukan hujah ke atas kami.

Al-Quran,
Hujjatul lana wala hujjatul 'alaina.

Ya Rabbi,
Hati ini gelisah,
Gundah dan resah,
Andai tidak bertemu dengan-Mu,
Dalam tahajudku,
Jika sekali Engkau berpaling,
Tidak mengejutkanku,
Untuk bertemu dengan-Mu,
Sungguh aku tertanya-tanya,
Tidak mahukah Engkau bertemuku?
Dalam larut doaku?
Tidakkah Engkau rindu padaku?
Wahai Tuhanku?

Wahai Tuhanku,
Temukanlah aku dengan-Mu,
Sesungguhnya aku terlalu rindu,
Rindu untuk bertemu dalam tahajudku,
Bangkitkanlah aku wahai Tuhanku,
Pada malam ini untuk bertemu-Mu,
Dalam tahajudku.

Ya Rabbi,
Jadikan kami hati yang cinta akan Quran,
Lidah yang basah melantunkan Furqan,
Akal yang dhabit menghafaz Tanzil,
Ayat-ayat-Mu secara tartil.

Ya Rabbi,
Perkenankan doaku,
Perkenankan doa kami,
Hamba yang hina ini.

**

wardahfilzatunnafsi
mawarbelahan
jiwaku

sumber: pusat pendidikan irsyadiyah

♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

PINJAMAN YANG BAIK

Basmallah... 

Gambar bawah ni ana lukis sendiri. Cantik tak?
Hehe (poyo :p)


Okeh, let's start! 

Pernah tak antum memiliki situasi macam ni?

Tiba-tiba sedang aku tidur berkeruh di dalam bas sementara menunggu pak cik bas memandu balik ke asrama kolej, telefon bimbitku berdering. Kuat bunyinya. Semua mata mengarah ke aku. Apa lagi? Seperti biasa aku buat tak tahu sajalah. Lagu Love Story nyanyian Taylor Swift memekak di telinga. Mesej masuk. Sengaja kuletakkan lagu itu sebagai nada dering mesej supaya mudah aku perasan terdapat inbox.

"Salam my dear adik-adik akak. Alhamdulillah, akak sihat di sini. Adik-adik macam mana? Awak, Rabu ni jom kita duduk berhalaqah sekejap nak? Kita duduk beriman dekat taman yang letaknya berhampiran dengan kolej. InsyaAllah, tak lama pun. Akak tunggu awak dekat gazebo pukul 5.30 ya. Nanti kita dinner sama-sama, insyaAllah. Uhibbukum fillah ♥" 

Aku mendegus "Alahai akak ni, malaslah! Sudahlah Jumaat ada test. Boleh pula dia nak buat usrah pada hari Rabu? Orang nak studylah."

**

Sumaiyah segera memakai telekung sambil tangannya mencapai tafsir Quran yang terletak di sudut meja belajar. Kemudian, dia mengetuk pintu bilik rakannya dan akhirnya pintu itu terkuak. Dua orang sahabatnya muncul di hadapan pintu.

"Fatira, Ainul jom ke musollah. Ada tazkirah Maghrib oleh ustazah. Kalau kalian ada masa datanglah. Saya nak ke surau sekarang."

Aku sebagai rakan sebiliknya (housemate Fatira dan Ainul) dengan muka mencuka berbisik dalam hati "Hari-hari pergi surau! Hari-hari ajak kitaorang pergi surau! Bila masa nak belajar? Pukul 9.30 baru ada batang hidung kat rumah. Tak penat ke hari-hari tidur lambat? Ish, tak boleh jadi! Aku tetap tak nak pergi! Buang masa saja pergi surau lama-lama, walaupun bilik aku tingkat 1, laman 1 dan blok paling dekat dengan surau. Tak nak aku buang masa lama-lama kat sana. Bukannya tak boleh solat dalam bilik."

**

Ukhti Elina segera melangkah turun dari bas seraya menyapa aku dari belakang. Aku terperanjat. Matanya dan mataku bertembung.

"Assalamuaalaikum Farah, jangan lupa hujung minggu ni kita ada tamrin. InsyaAllah, semua ahli wajib datang. Bersedia mental dan fizikal ya. Jumpa awak nanti."

Dengan wajah yang terpinga-pinga aku terkedu "Menyesal pula aku masuk jemaah ni, banyak tamrin kena pergi. Aduhai, assignment melambak pula nak disiapkan hujung minggu ni!"

**

Tet. Tet. Menandakan mesej masuk. Tertera di telefon bimbit nama timbalan presiden persatuan, Masyitah. Mataku melirik membaca sms yang dikirimkan.

 "Salam to the HICOM. Kindly remind you that tomorrow we have meeting at 4.00 pm to discuss more about the execution of our new program, Free Palestine at E103. Your attendance are definitely compulsory to make sure your commitment. Please bring your portfolio together with you. Jazakumullah.

Blur. Wajah aku blur bercampur penat. Aku bermonolog dalaman.
 "Rasanya ini kali yang ke-13 mesyuarat diadakan semata-mata untuk program Free Palestine sahaja. Masih tak selesai-selesai lagi? Semalam aku ada meeting dengan persatuan X, esok ada meeting dengan persatuan W, lusa pula ada meeting sesama class rep. Minggu depan kan nak final exam dah. Tak boleh tunda lepas exam ke hah? Weh, aku ni manusia! Bak kata Adam, aku bukan robot!" 

**

Syaheed segera melangkah keluar dari perpustakaan. Matanya melilau mencari begnya yang tertimbun bersama beg students lain di sudut ruangan locker. Hari itu, ramai pula yang mengunjungi pusat sumber sehinggakan banyak beg dijumpai bersepah di atas lantai akibat tidak cukup locker untuk diisikan. Penuh locker dan lantai dengan beg para pelajar. Inilah akibat tidak tahu menyusun atur beg dengan baik. Tiba-tiba Yusuf menghampirinya dengan wajah sayu.

"Syaheed, aku ada masalah ni. Malam ni aku nak tidur bilik kau untuk luahkan masalah aku. Mak dan ayah aku bercerai. Aku tak boleh cerita sekarang sebab ada kelas. Jumpa malam nanti. Assalamualaikum."

Syaheed merungut dalam hati. "Aduhai, malam ni ada usrah! Lepas tu, kena siapkan slide show untuk presentation esok. Macam mana ni? Kenapalah time macam ni pula dia ada masalah..."

**

Pernah tak antum mengalami situasi macam ni? Pernah kan? 

Tapi izinkan ana legakan hati antum semua dahulu dengan ayat-ayat cinta Allah buat hamba-hamba-Nya yang beriman. Sila selak tafsir Qurqan, Surah Al-Hadid, ayat 11 dan seterusnya Surah Al-Baqarah, ayat 245. Kita thadabbur Quran sama-sama kejap ya. Boleh kan kawan-kawan? Kan comel bila baca Quran tu! Handsome dan cantik lagi :) Kalau perasan ayat ini banyak kali dah Allah sebut dalam Al-Quran.

"Barangsiapa yang meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan mengembalikannya berlipat ganda untuknya dan baginya pahala yang mulia."
(Surah Al-Hadid, ayat 11)

"Barangsiapa meminjamkan Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan rezeki dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan." 
(Surah Al-Baqarah, ayat 245)

"Sweet tak Allah? Sweet kan? Romantik tak Allah? Romantik kan?"

"Errrr...?? Pinjaman yang baik? Apa tu? Tak fahamlah =_=. Sorry..."

Tak faham? Baik, biar ana explain dulu.

Allah itu sweet sebab...
 Masa kita, waktu kita, nyawa kita, harta benda kita, kudrat kita dan tenaga kita adalah semua hak milik Allah swt, betul? Tetapi Allah tidak pernah menganggap kesemua itu adalah milik-Nya. Allah malah berfirman kepada hamba-hamba-Nya, jika kesemua harta benda, nyawa, kudrat, waktu dan tenaga itu dipinjamkan kepada Allah, maka Dia akan menggantikannya berlipat ganda dengan sesuatu yang lebih bernilai daripada itu dan pahala yang mulia. 

"Faham ke? Ke still tak faham lagi?"

"Tak '=_="

Okeh, baiklah begini, ana bagi contoh. 

Fatimah meminjamkan pemadamnya kepada Suraya. Tetapi setelah sekian lama, Suraya masih tidak memulangkan pemadam yang dipinjamnya kepada Fatimah. Oleh sebab Fatimah tidak mahu mengecilkan hati sahabatnya, maka Fatimah pun membiarkan sahaja perbuatan sahabatnya itu. Baik tak Fatimah? Baik kan? 

Suatu hari, Fatimah terdesak mahu menggunakan pemadam sebab pemadamnya tiada (Suraya dah pinjam buat macam hak sendiri) dan kebetulan dia ditakdirkan pula oleh cikgu untuk duduk di meja bersebelahan Suraya. Fatimah pun bersuara kepada teman yang duduk di sebelahnya itu. "Suraya, saya nak pinjam pemadam awak boleh? Nanti saya bagi pemadam yang lebih besar kalau saya terhabis guna pemadam tu." 

Suraya pun terpinga-pinga dan kembali teringat bahawa sebenarnya itu ialah pemadam Fatimah yang telah dipinjamnya bulan lepas. Dia mula sebersalah. Suraya bersuara dalam nada perlahan."Eh, ini pemadam awak! Ambillah. Maafkan saya jika terlupa nak pulangkan dulu. Maaf ya."

Tamat. The End. 

"Okeh sekarang dah faham ke belum?"

"Belum =_="

Baiklah sahabiah sekalian, jika kita bandingkan kisah Fatimah dan Suraya tadi dengan pinjaman Allah, sebagaimana baiknya Fatimah terhadap Suraya, maka begitulah baiknya Allah swt malahan jauh, jauh, jauh dan seribu kali jauh lebih baik lagi Allah Azza Wa Jalla kepada kita sebagai hamba-Nya. (Ini perbandingan sahaja ya). Nanti ada pula yang bantai komen kat ana "Ish,ish,ish, mana boleh bandingkan sifat Allah dengan manusia!" Sebelum kalian bantai ana, biar ana berhujah dulu dengan ayat ustazah Fatimah Syarha. "Ya benar, manusia berbuat kebaikan dengan sifat manusia, Allah berbuat baik dengan sifat-Nya. Tak sama cuma mahu membuat perumpamaan sahaja."

Manalah tahu kalau ada yang nak berhujah dengan ana sekejap lagi, sahabat ana ni semuanya bijak-bijak dan jaguh debat belaka, maka terpaksalah ana sediakan protector sebelum hujan batu menjelma. Hehe.

Waktu, masa, tenaga, nyawa, hati, jiwa, harta benda dan seluruh yang ada di muka bumi ini adalah hak milik Allah swt, tetapi Allah terlalu baik sehingga menyatakan pada kita jika kita meminjamkan kesemua nikmat yang Allah berikan untuk-Nya, walaupun sekejap sahaja, maka Allah akan memulangkan pemadam yang lebih besar untuk kita. Eh, silap! Ganjaran yang lebih besar untuk kita dan pahala yang mulia. 

Sweet kan Allah?

Baik kan Allah?

"Macam mana? Dah faham dah?"

"Dah. Alhamdulillah :)"

Oleh itu kawan-kawan, jangan risau jika kita terpaksa menghadiri usrah di saat genting seperti exam hampir tiba. Jangan bimbang jika terpaksa duduk beritikaf, bertafakur di dalam surau dan masjid lama-lama semata-mata demi Allah swt. Jangan khuatir jika terpaksa mengabiskan kudrat, tenaga dan penat lelah demi menyebarkan dakwah dan melaksanakan program-program agama yang membawa manusia mendekatkan diri kepada-Nya. Lainlah, kalau berusaha untuk mewujudkan program lagha, maka itu memang tak patut kita korbankan masa, nyawa dan tenaga nampaknya. Itu pinjaman yang buruk namanya. Bukan baik lagi dah. Mengundang murka Allah pula nanti.

Ingatlah, masa dan kesemua yang ada di muka bumi ini ialah makhluk Allah swt. Keberkatan masa itu yang akan menjamin seseorang berjaya pada kaca mata-Nya dan ia sama sekali tidak diukur selama mana kita menggunakan masa mentelaah atau melakukan perkara-perkara yang kita suka.

Masih ingatkah lagi kalian akan love letter Allah ini?

"Wahai orang beriman, jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu." 
(Surah Muhammad, ayat 7)

Ingat lagi kan? Jadi, jangan terasa menyusahkan jika terpaksa membantu sahabat kita apabila mereka dalam kesusahan dan memerlukan. Kelak Allah menggantikan kita dengan rezeki dan sesuatu yang tidak disangka-sangka. 

Yang penting tajdid niat semata-mata kerana Allah dan bertawakal kepada-Nya dalam setiap usrah, halaqah, aktiviti persatuan dan perbuatan membantu rakan yang kita lakukan. InsyaAllah, jika diniatkan segala perbuatan kita kerana Allah, maka ia akan menjadi suatu ibadah. Apa-apa perkara kebaikan yang kita lakukan semata-mata kerana Allah diertikan sebagai pinjaman yang baik kepada Allah. Bukankah membantu sahabat kita yang sedang dalam kesusahan juga merupakan membantu agama-Nya? Yakah? Bagaimana pula? Ya, kerana kita menunjukkan akhlak yang mulia kepada mereka. InsyaAllah, manalah tahu mereka menerima hidayah untuk berhijrah ke arah yang lebih baik atas asbab usaha kita. Setelah usaha, maka tawakal.

Allah Maha Besar lagi Maha Mengetahui.

"Jika seseorang mendapat hidayah lantaran kamu, kurniaan itu lebih baik daripada apa-apa yang disinari matahari." 
(HR Thabrani)

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar daripada kesusahan dan diberikan-Nya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Talaq; ayat 2-3)

Oleh itu kawan-kawan, berbuat baiklah setakat mana yang kita mampu sehingga kita benar-benar lelah dan kepenatan. Ingat! Kita semua ialah seorang daie. Ana, dia dan antum yang baca artikel ana ini juga ialah seorang daie. Setiap manusia yang dilahirkan di muka bumi ini setelah melafazkan dua Kalimah Syahadah ialah seorang daie dan...
"Sesungguhnya perjalanan seorang daie itu sangat panjang dan melelahkan. Ketika itu, orang akan hairan melihat daie menyengsarakan diri dalam kelelahan dan bertanya: "Sampai bila kau akan melelahkan diri?"
Maka jawab si daie dengan pasti:
"Sebenarnya daku mengharapkan istirehat di syurga nanti."

-Al Fawa'id Ibnu Qayyim-

Terima kasih antum semua kerana meminjamkan masa kepada Allah, meluangkan waktu membaca artikel ana ini. Semoga Allah menggantikannya dengan ganjaran yang lebih baik dan pahala yang mulia. Aamiin...

♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

BAB 3: TINTA SEORANG DA'IE

[Cinta Yang Bertahmid]

BAB 3: TINTA SEORANG DA'IE

Telinganya masih disumbatkan dengan earphone. Air mata tidak henti-henti mengalir dari peraduan matanya. Sayu lagu Sunnah Orang Berjuang melirik-lirik di sudut telinga. Makin deras air matanya melaju membasahi pipi tatkala lirik Sunnah Berjuang dihayatinya satu persatu. Seolah-olah ada kalimah peransang yang menyuntik dirinya untuk melepaskan emosinya yang merona saat itu. Entah mengapa, masih lagi terngiang-ngiang ucapan yang dilontarkan oleh sahabatnya di musollah sebentar tadi.

"Aku melihat pada kaca mata aku, kau ialah seorang daie yang tak perlu pun dihormati. Pelajaran entah ke mana, kalau asyik berjuang nak menegakkan agama saja, kau salah tafsir mengenai da'ie sebenarnya. Da'ie itu bukan membawa fitnah pada agama." Tersusuk. Jiwanya tersusuk dengan butir kata yang dilontarkan oleh seorang ukhti di pangkin luar musollah. Asalnya dia hanya mahu meminta bantuan uhkti itu menggantikan dirinya selama beberapa hari sahaja mengendalikan usrah ketika ketiadaannya di UIA. Tidak lama mana pun. Hanya beberapa hari sahaja gadis berkulit sawo matang itu dimintanya mengendalikan usrah. Selesai sahaja tugasannya menjadi pengarah projek Konvesyen Islamik UIA pada hujung bulan ini, dia akan segera kembali kepada posisi asalnya iaitu memegang mad'u untuk ditarbiyyah. Namun, entah mengapa keadaan menjadi tegang asbab beberapa perkara yang di luar jangkaan. Gadis yang dahulunya lembut terhadapnya kini bertukar menjadi kasar.

"Jadi menurut enti, enti menolak permintaan ana ini?" Lirih gadis bertudung labuh cokelat itu sayu. Matanya tertunduk mengadap lantai, memikirkan siapa lagi gerangan yang boleh diharapkan untuk meminta pertolongan.

"Tak payah nak enti sangatlah." Soalannya dibidas dengan amarah.

"Bukan ke kau banyak kawan lelaki? Aku dengar entah dengan siapa lagi lelaki kau berurusan. Kau pergilah minta tolong diaorang." Suatu panahan kata-kata dibaling ke arahnya dengan nada perli. Segera dilontarkannya pandangan tepat ke wajah gadis bertelekung putih itu. Zuraya namanya. Dia terkejut. Di hatinya, segala tembakan yang dikenakan kepadanya adalah merupakan fitnah semata-mata. Hakikatnya, dia tidak memiliki sahabat muslimin seramai yang diperkatakan. Balik-balik dia hanya berurusan dengan orang yang sama sahaja. Tidak disangkanya akan ditikam dengan pisau kata-kata yang sebegitu tajam sekali. Astarghfirullah... Dia segera beristighfar. Dialihkannya fikiran pada seuntai kata hikmah yang baru sahaja ditatapnya dalam majalah Solusi sebelum Maghrib. Dia tidak mahu menjadi muslimah reaktif tanpa berfikir panjang dalam berbicara. 

"Muslims shouldn't be reactive when we see or hear things about Islam that are distasteful. Instead of being reactive, we should be reflective. The Quran talks a lot about the people of reflection and we should strive to be one of them. People who are reactive don't think much before doing things. They are driven mainly by emotions, and emotions are bad drivers. People who are reflective take a step back before doing anything that they might regret later. Having Allah in their mind, they think of the best way possible to respond. A way that would be most pleasing to the Almighty"

-Aiman Azlan-

Begitulah kuasa Allah dalam mengatur peristiwa yang bakal berlaku pada seseorang. Seolah-olah Allah memang sudah tahu keadaan sebegini akan terjadi padanya malam itu. Mujur, kata-kata itu masih meresap di jiwanya. Lantas, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri.

"Qaish, Sorry sangat. Aku nak study. Exam dah nak dekat. Lebih baik kau fokuskan pada study kau dulu baru berdakwah pada orang lain. Orang tak akan respect kalau da'ie itu kurang ilmu. Assalamualaikum." Luka. Jiwanya luka mendalam. Futur. Entah mengapa dirasakannya begitu futur saat itu. Seakan-akan kepalanya berpinar-pinar dan badannya mahu rebah. Qaisha akui keputusan akhir semesternya kurang memuaskan namun, tidak disangkanya itu akan menjadi hujah buat orang-orang sekeliling terhadap dirinya. Memang salah dia juga dahulu kerana kurang fokus pada pelajaran pada semester yang lepas. Sepanjang minggu peperiksaan tahun lepas, dia terlalu asyik meratapi pemergian adik sepupunya ke rahmatullah, Iman yang telah diasuhnya dari kecil di kampung sehingga tidak boleh belajar. Tiada yang tahu perihal masalahnya kerana Qaisha memang suka menyembunyikan masalahnya di balik wajah ceria.

Tiba-tiba telinganya tertangkap pada suara yang amat dikenali dari dalam musollah. "Qaisha, jangan lupa pukul 10 saya datang bilik awak. Kita kena siapkan assignment!" laung Hidayah dari pintu musollah, masih dalam keadaan memegang tombol. Setelah itu, suara yang lain pula muncul di telinganya. 
 "Qaish, Isya' dah masuk. Mari jadi imam. Kak Amna tunggu." 

Matanya dan mata gadis itu bertembung. Zuraya melirihkan senyuman sinis lantas bergerak meninggalkan gadis berjubah hitam dan bertudung cokelat itu ke tempat wudhu'.

****

 Hatinya pilu. Remuk seribu kecewa. Allah Azza Wa Jalla memang benar-benar mengujinya saat itu. Segera dikesatnya air mata dengan hujung lengan baju yang bewarna merah. Matanya tertangkap pada sosok tubuh gadis remaja seusia dengannya di kamar sebelah. Sosok tubuh gadis remaja yang tidak pernah jemu menghadap laptop sambil matanya meliar memandang skrin dengan ketawa yang berdekah-dekah. Salimah atau lebih dikenali sebagai Sally memang sudah terbiasa dengan hidup kebaratan dari dulu. Jemu Qaisha menyerunya solat namun, gadis itu tetap dengan headphone di telinganya dan laptop di ribanya walaupun ketika azan Maghrib berkumandang. Terkadang sengaja dia dan rakan serumahnya yang lain solat berjemaah di hadapan gadis itu dan membaca doa dengan kuat seusai solat dengan harapan Salimah bakal peroleh hidayah Allah swt. Jarang sekali dia melihat Sal solat.

"Sal, dah solat Isya'?" Qaisha menyapa dari luar kamar. Dia masih belum berani menegur sahabatnya itu secara direct. Dakwah Fardiyyah itu tidak boleh dilaksanakan secara terburu-buru. Lagipun baru 5 bulan mereka tinggal bawah satu bumbung. Hakikinya, mereka masih memerlukan masa untuk kenal antara satu sama yang lain."Ouh, kejap lagi ye." Laung Salimah dari kamarnya sambil matanya masih tercacap pada skrin komputer peribadi miliknya. Filem Korea memang antara aktiviti yang menghiasi hidupnya saban hari.

"Lewatkan solat Isya' boleh Sal, tapi jika benar-benar mempunyai urusan yang perlu diselesaikan." Tambah Qaisha lagi. Sally tetap larut khusyuk dalam khayalannya, tidak mengendahkan seruan teman serumahnya itu. Gadis cantik bertubuh langsing itu memandang wajah Sal dengan penuh belas kasihan. 

"Semoga Allah mencampakkan nur dalam hatimu sahabat yang ku sayang." bisiknya sendirian. Qaisha kembali menyambung kerja-kerjanya. Dia mengalihkan padangannya ke meja belajar. Dimasukkannya buku-buku dari atas meja ke dalam beg sandang untuk persediaan ke kuliah esok hari. Lagu Sunnah Berjuang kini beralih pula pada Langkah Tercipta yang didendangkan oleh kumpulan UNIC. 

Tet. Tet. Telefon bimbitnya berbunyi menandakan pesanan ringkas masuk. 

"Salam ukhti. Kita menghadapi masalah. Ustaz Zaharuddin dan Ustazah Hafizah Musa tak dapat datang secara tiba-tiba untuk talk pada malam kemuncak program dan Ustaz Zahazan yang dirancang sebagai replacement pun tak dapat hadir sebab terpaksa menghadiri kursus di Jordan. Boleh enti tolong carikan penceramah jemputan yang lain? Allahu yusahhil alaina."

Panjang mesej Wardina dibacanya. Wajahnya masih sembab akibat terlalu banyak menangis. "Ya Allah, mengapa baru saat ini semuanya terjadi?" Monolog Qaisha dalam hati. Kepalanya begitu berat memikirkan banyak perkara yang tidak selesai. Dia berhenti seketika mengemas lantas melangkah ke kamar. Qaisha merebahkan dirinya ke katil. Lama matanya memandu pergerakan kipas siling yang berpusing-pusing di bilik tidur. Konvesyen bakal diadakan dalam masa empat hari sahaja lagi. Promosi di sekitar UIA telahpun dilaksanakan secara besar-besaran dan masih belum sempurna keseluruhan pelaksanaan. Tiba-tiba pula ada penceramah jemputan yang tidak boleh hadir. Beerti, promosi harus dihentikan dahulu dan poster serta risalah harus ditukar bagi mengekalkan professionalism. Kepalanya sudah pening. Belum sempat jarinya menekan butang handphone bagi membalas mesej, dia menerima suatu panggilan.

"Assalamualaikum ukhti." Qaisha menekan butang terima panggilan. Tertera nama Maryam di skrin handphone. Dia meringankan badannya, duduk di atas katil.

"Waalaikumussalam Maryam. Apa khabar?" Qaisha melunakkan suara meyambut panggilan sahabat baiknya di Universiti Malaya. Hatinya melonjak gembira menerima panggilan daripada orang tersayang. Seperti hampir lenyap seluruh kekusutan yang merantai di fikirannya.

Senyap. Aneh. Salam dan soalan Qaisha tidak dibalas sebaliknya tangisan yang muncul dari corong telefon bimbit. "Maryam kenapa? Ada masalah ke?" tukas Qaisha bimbang apabila gadis Sabah itu menujukkan reaksi yang berbeza daripada biasa. Selalunya Maryam akan menelefonnya dalam nada yang gembira dan penuh gelak tawa. Soalan Qaisha masih tidak berjawab. Tangisan menjadi semakin ligat. "Maryam..." Qaisha bersuara lembut.

"Nafi' sudah bertunang, Qaish. Dia sudah bertunang. Habis sahaja asasi dia akan bernikah dengan gadis pilihannya." Akhirnya Ummu Maryam bersuara perlahan.

"Maryam tahu dari mana?"

"Dari sahabat baiknya di Jordan. Hati ini sakit Qaisha.." Maryam bersuara dalam nada yang menggeletar. Esakan masih kedengaran dari telefon bimbit.

"Pasti ada yang lebih baik yang telah Allah atur untuk Maryam. Jangan risau. Al hobisat lil hobisin wal hobisun lil hobisat. At toyyibat lit toyyibin wat toyyibun litttoyyibat. Masih ingat ayat Allah ini? Surah An Nur ayat 26." Sedaya upaya Qaisha cuba menenangkan hati sahabatnya yang remuk rendam itu.

"Tapi ana menyukainya dalam diam." Maryam mengadu penuh hiba.

"Sohih berita ini? Tunangnya di mana? Jordan atau di Malaysia?"

"Ana tidak pasti."

"Maryam, boleh jadi khabar berita daripada sahabat baik Nafi' tu tak betul kan? Enti sendiri tidak pasti kesahihannya. Dan boleh jadi Nafi' suatu hari nanti berubah hati pada enti kan? Kalian kan saling kenal. Allah yang memegang hati kita. Tunang tak semestinya nikah Maryam. Bersangka baiklah pada Allah."

"Tapi sungguh sakit mendengar hakikat ini Qaish."

"Ye, ana tahu. Beginilah, mahu ana carikan calon untuk enti? Sahabat ana ramai yang soleh di sini, insyaAllah. Ana yakin rata-rata mampu menjadi imam yang baik. Tapi benarkah enti sudah bersedia?"

"Tak semudah itu Qaish. Tak semudah itu.." Maryam bersuara serak diselangi dengan batuk. Perbualan terhenti seketika apabila kondisi Maryam semakin membimbangkan. Tangisannya tidak mampu dihentikan.
 
Tiba-tiba ketukan kuat di pintu memeranjatkan Qaisha. Kedengaran suara dari luar kamar memecahkan keheningan malam. Tombol kelihatan dipulas dan pintu akhirnya dikuak. Fatihah muncul di balik pintu dengan senyuman. Rambutnya yang mengurai itu segera diikatnya dengan rapi. Fatihah cantik orangnya. Wajahnya manis dan suka senyum. Qaisha melirihkan pandangan memerhatikan perilaku teman sebiliknya namun, masih memegang telefon bimbit. 

"Qaish, Hidayah datang. Dia tunggu di luar. Katanya awak dan dia dah janji nak buat assignment sama-sama. Hantar besok kan?" Mata Qaisha terus melirik ke arah jam loceng yang diletakkannya di sudut katil. Jarum jam tepat mengarah ke nombor 10 menandakan sudahpun pukul 10 malam. Kata-kata Fatihah seolah-olah merupakan suatu tamparan buat dirinya. Ya Allah, dia lupa bahawa dia ada temu janji dengan sahabat sekuliahnya untuk menyiapkan kerja kursus yang perlu dihantar esok hari. Walhal, Hidayah sudah mengingatkkannya di surau sebentar tadi.

"Terima kasih Fatihah ingatkan. Kata pada Hidayah, sekejap lagi Qaish keluar." Gadis berkulit kuning langsat itu segera menyambut kata-kata Fatihah dengan wajah yang manis. Pintu bilik ditutup semula.

Gadis berambut ikal mayang itu segera menyambung kata-katanya di talian. "Maryam, asif jiddan, ana lupa sekarang ni ana ada discussion. Kalau ana ada dengan enti sekarang ni, pasti ana dah peluk enti erat-erat, usap air mata enti. Tapi masalahnya kita berjauhan saat ini. Ana tak mampu nak buat apa-apa melainkan kata-kata. Ana janji tengah malam nanti ana call balik. Boleh?" Qaisha cuba memujuk agar perbualan ditamatkan walaupun hakikinya dia tahu sahabatnya sangat memerlukannya ketika itu. Namun, ada perkara yang perlu dia awlakan iaitu kerja khusus dan pelajaran.

"Ukhti, ana sangat-sangat perlukan enti saat ini. Sekejap saja takkan tak boleh?" Maryam semakin ligat dalam butir tangisannya. Dia tidak mampu menahan hiba yang berkumpul di benak lagi.

"Asifah, ana ada janji ukhti. Malam nanti ana call balik untuk dengar masalah enti. Boleh kan? Sampai pagi pun takpe. Ukhti, la tahzan. Innaallah ha ma'ana. Ana tahu ukhti kuat untuk menghadapi semua ini."

"Tapi ukhti tahukan ana tiada siapa-siapa lagi melainkan enti. Ana anak yatim, kawan pun kurang. Qaisha, sampai hati buat Maryam macam ni." Maryam tetap menangis. Pujukan Qaisha tidak mampu meleraikan tangisannya. Malah, dia semakin bertindak tidak mahu mematikan perbualan.

"Sampai hati buat Maryam macam ni!" Berulang kali nisa yang mengambil jurusan perubatan di Universiti Malaya itu mengulang ayat yang sama.

"Ukhti, Qaisha sayang ukhti. Ukhti, jangan macam ni." Dan tiba-tiba teeeeet, perbualan terputus. Lama juga Qaisha menyeru nama Maryam untuk meminta agar difahami. Satu minit kemudian, suatu pesanan ringkas muncul di skrin telefon bimbit. 

"Ini ke tarbiyyah yang ukhti gembar-gemburkan? Ana dalam kesusahan dan enti sanggup biarkan ana macam ni? Qaish, tak perlu pujuk dan call ana malam ni. Biarkan Maryam sendiri! " Pesanan ringkas itu ditatapnya rapat-rapat. Setitis demi setitis air salju mula mencurah dari kelopak mata. Qaisha menekap mukanya ke bantal. Dia menangis. Hatinya hancur. Sudahlah  hari ini dia difitnah malah diperli. Kini, terpaksa pula menghadapi potensi untuk kehilangan sahabat baiknya sendiri. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa ironinya perasaannya ketika itu.

"Qaisha, dah pukul 10.15 dah ni. Assignment kita kena siapkan cepat. Rasanya saya tidur rumah awak kot. Sebabnya esok kan ada test Chemistry. Bolehlah kita study sama-sama." Pintu diselak lagi. Kali ini Hidayah sendiri yang melangkah masuk ke kamarnya.

"Eh, dah tidur ke?" Hidayah kehairanan. Qaisha belagak tenang. 

Dalam hatinya, dia mahu sahaja tidur kerana semangatnya untuk melaksanakan assignment dan study sudah hampir separuh tenggelam. Namun, dia yakin muslimah tidak boleh lemah. Malah, seorang dai'e itu tidak boleh lemah! Dai'e memang harus kuat! Qaisha beristighfar. Segera dia memasukkan firman Allah swt dalam hati untuk menenangkan diri.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Al Imran, ayat 139)

 Qaisha kembali mengukuhkan kedudukannya, mengangkat wajah dari bantal, bangun dan berpaling menghadap Hidayah dengan senyuman. Anak gadis berjiwa luhur itu tersenyum seraya berkata "Eh, mana ada tidur. Esok kan ada test!"
 
**

Bersambung..

♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

Copyright@All right reserved by Wardah Filzatunnafsi