❤ welcome to cintayangbertahmid.blogspot.com ❤ anyone who can bow to Allah can stand up to anything ❤

♥ INSAN TERPILIH ♥

  
 INSAN TERPILIH 

Menjaga orang tua,
Memerlukan kesabaran yang maksima,
Tidak seperti menjaga kanak-kanak,
Tahap kesabaran yang mungkin diperlukan,
Hanya berada di tangga sederhana atau wasatiyyah,
Kerana kanak-kanak comel,
Dan masih belum mumayyiz,
Sebaliknya orang tua,
Telah berakal,
Namun alzhiemer dan nyanyuk pula menguasai fikiran,
Jika tidak dilaksanakan arahan dia merajuk,
Dipanggil seribu kali harus kita sahut,
Jikalaulah tidak,
Pasti disergah, diherdik dan dikutuk.

Bagaimana pula?
 Dengan urusan cibok berak kencing yang mengalir?
Air liur yang meleleh membasahi bibir?
Dia orang tua yang tidak dapat berjalan,
Najis berterabur, bertakung di tilam,
Perlu kaubasuh sisa najisnya,
Dengan hati berbaur duka,
Hanya kesabaran yang kautitipkan,
Dalam perjalanan,
 Melaksanakan tugasan.

Kau juga perlu ulang alik ke sana ke mari,
Semata-mata mahu menyediakan makanan dan minuman,
Terhidang di depan matanya,
Yang terlantar sakit tak boleh bangun,
Jika lumpuh bagaimana pula?
Harus kaujaga dirinya dengan rapi,
Menyikat rambut dan mandikan tiap-tiap hari.

Siapa yang sakit?
Ayah, ibu, nenek atau atukmu?
Mereka orang tua,
Harus dihormati,
Jika tidak didengari panggilannya,
 Terkadang suaramu tinggi,
Namun Islam melarang sama sekali,
Sebarang perbuatanmu yang mengecilkan hati,
Mereka sensitif,
Air mata mudah mengalir,
Harus kautahu itu,
Hati mereka rapuh,
Tatkala sudah berusia,
Ya, semestinya kautahu!
Namun kesabaran yang mengundangmu,
Melepasi batasan itu.

Ramai sekali,
Anak-anak yang membiarkan mereka,
Terkubur di rumah usang,
Tanpa sesiapapun ambil peduli,
Anak derhaka namanya!
Membiarkan orang tua,
Sendirian tanpa dijaga.

Atau diserahkan kepada adik-adik perempuan,
Yang punya suami yang panas baran,
Diharamkan pula suaminya itu,
Untuk kaupulang ke rumah menjaga orang tuamu,
Katanya padamu,
 Jika kaupergi jua,
"Engkau isteri derhaka!"
"Tempat kau pasti di neraka!"
Lalu kaupulang dengan tangisan,
Membiarkan orang tua sendirian.

Adapun,
Yang pernah tinggal menjaga orang tua,
Selama beberapa tahun,
Akhirnya kalah dengan hati,
Mereka akhirnya lari,
Lari dari rumah pusaka,
Kerana suaminya tidak tahan,
Mendengar rungutan dan cacian,
Orang tua sakit yang mahukan belaian.

Namun suami memang wajib dipatuhi!
Walau ibu dan abah mengingkari,
Syurga isteri di bawah telapak kaki suami,
Bukan lagi bawah kuasa famili.

Tanggungjawab lelaki?
Si anak teruna yang dibelai manja tatkala muda,
Meninggalkan orang tuanya,
 Setelah berumahtangga,
Abah dan ibu yang sakit dibiarkan sahaja,
Mematuhi kehendak isteri yang lebih utama,
Kau dayus!
Merelakan diri dipijak isteri,
Walhal orang tua yang wajib kaupatuhi.

Terkadang aku mendengar luahan hati,
Insan bernama isteri,
Yang menjaga suaminya yang lumpuh,
Dengan rapi dan cinta yang utuh,
Betapa besar pahala si dia,
Dalam menuju gerbang syurga,
Bolehkah aku menjadi sepertinya?
Menjaga suami sakit?
Tatkala sudah mendirikan mahligai?
 Bernama Baitul Muslim?

Sabar?
Sabar itu mudah diluah,
Dipratikkan payah,
Engkau insan terpilih,
Diberi peluang menjaga orang tua yang sakit,
Andainya dikau sabar,
Berganda pahala melimpah,
Namun rungutan pasti akan kedengaran,
Kerana kau bukan malaikat,
Malah dicemburui syaitan,
Iblis yang berusaha melerai kesabaran,
Menambah kemarahan.

Duhai insan terpilih,
Berbahagialah dikau dengan ujian yang diterima,
Aku sungguh tabik,
Mereka yang diberi peluang Allah,
Menjaga orang sakit,
Menjaga orang tua,
Tidak kiralah ibu, abah, datuk atau nenek,
Asalkan nama keluarga,
Mempunyai keluarga yang cacat,
Lalu kaujaga dengan erat,
Adik atau kakak yang kurang upaya,
 Dari segi fizikal dan mental,
Semenjak lahir dari rahim ibunya,
Atau dipilih menjaga suami,
Atau dipilih merawat isteri,
Yang sakit tak mampu meneruskan kehidupan,
Dengan kudrat yang dikurniakan Tuhan,
Kaurawat dengan kesabaran.

Duhai insan terpilih,
Berapa ramaikah orang yang dipilih Allah?
Untuk merasakan pengalaman yang kaurasa?
Meski kau bukan malaikat yang sempurna,
Terkadang marah, merungut dengan ujian Tuhan,
Namun kutahu pahala kau pasti berganda!
Lebih daripada mereka yang hidup senang,
Tidak diuji Allah dengan penderitaan yang bergelumang.

Engkau insan terpilih,
Allah tidak akan memilih,
Hamba-hamba-Nya yang tidak mampu menggalas rasa sakit,
Kau dipilih kerana kau kuat!
Lebih kuat daripada mereka yang kuat!
Maka teruslah bertabah,
Dan tetap kental dengan mehnah,
Kerana engkau insan terpilih,
Yang dipilih Allah.

Semoga Allah sentiasa bersamamu.

**

wardahfilzatunnafsi
mawarbelahanjiwaku

Credit to: 
*Nizzah Nur Qurrah
*Rafeah Mohd Salleh 
* Aimi Thuraya
*Qayyum Marsan


♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

Copyright@All right reserved by Wardah Filzatunnafsi