❤ welcome to cintayangbertahmid.blogspot.com ❤ anyone who can bow to Allah can stand up to anything ❤

LAGU: SATU ANTARA SERIBU

Tajuk: Satu Antara Seribu
Genre: Nasyid Kotemporari
Komposer: Wardah Filzatunnafsi


SATU ANTARA SERIBU

Penderitaan yang aku rasakan,
Seakan diriku hamba yang paling hina,
Amarah berkuasa bak api yang membara,
Tiada terbentur tak terpadam jua,
Dosa menyelubungi bagaikan titik hitam,
Yang terus bertampok di qalbu dan juga jiwa,
Inginku bersuci masihkahku diterima,
Oleh Tuhanku dan juga rasul-Nya.

Ya Rabbi,
Terimalah aku,
Bertaubat, 
Kubersujud,
Aku kepada-Mu.

Ya Rahim,
Layarkan buatku,
Bahtera untuk ke syurga,
Aku menuju-Mu.

(Korus 1)
Nama-Mu tersemat indah di hati buatku,
Kurniakan aku petunjuk dan hidayah-Mu,
Agar dapat untukku hirupi udara syurga,
Walaupun untuk sehela cuma.

(Korus 2)
Nama-Mu kujadikan serikandi di hati,
Takkan terpadam kasih dan sayangku ini,
Jadikanlah aku antara yang telah terpilih,
Yakni satu (ya Rabbi) antara seribu.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------
Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang hamba Allah akan gambaran di Padang Masyhar "Wahai Rasulullah saw, dalam kalangan umatmu berapa ramaikah yang akan mengikutimu ke syurga kelak?"

Rasulullah saw menjawab "Hanya satu antara seribu."

-dipetik daripada buku 113 Kisah-Kisah Benar-
---------------------------------------------------------------------------------------------------------

(Korus 1)
Nama-Mu tersemat indah di hati buatku,
Kurniakan aku petunjuk dan hidayah-Mu,
Agar dapat untukku hirupi udara syurga,
Walaupun untuk sehela cuma.

(Korus 2)
Nama-Mu kujadikan serikandi di hati,
Takkan terpadam kasih dan sayangku ini,
Jadikanlah aku antara yang telah terpilih,
Yakni satu (ya Rabbi) antara seribu.

Aku hanya hamba dan khalifah,
Mentadbir diri tanpa mensucikan hati,
Memperbetulkan aqidah buatku sendiri...
Allah...Allah...Allah...Ya Allah...

Jiwa ini bagaikan tiada arah (Rabbi),
Arah tuju tanpa bimbingan qahar-Mu (Rahim),
Ampunkan dosaku (dosa-dosaku),
Ya Latif...Ya Rahman...Ya Ar Rahim...
Ya Latif...Ya Rahman...Ya Ar Rahim...



♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

CANTIK ITU RELATIF :)


Cantik itu terlalu relatif :)

Bagiku,
Terlalu banyak wanita yang cantik tetapi tidak ramai yang menarik. 
Hanya segelintir sahaja yang cantik sepertinya. Dia cantik...

Bagiku,
Dia cantik kerana kebijaksanaannya dalam ilmu,
Dia cantik kerana penulisannya yang menyentuh jiwa dan qalbu,
Dia cantik kerana thafaqahnya dalam ilmu agama,
Dia cantik kerana matlamatnya tidak tertumpu pada dunia semata-mata,
Dia cantik kerana akhirat kunci utamanya.

Dia cantik kerana bukan sahaja bijak menguasai ilmu Fardu Kifayah,
Dia cantik kerana ilmu Fardhu Ainnya mantap,
Apabila disoal tidaklah mentah, 
Iman diuji tidaklah goyah,
Dia cantik kerana ilmu dunia di hujung tangannya, 
Dia cantik kerana ilmu Al-Quran disimpan di dada, 
Dia cantik kerana istiqamah tadhabbur
Menghafaz dan menyampaikan ayat Al-Quran kepada insan.

"Sebaik-baik kalian ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” 
(HR Bukhari)

Dia cantik kerana kekuatannya melawan nafsu dan cinta dunia,
Dia cantik kerana akhlaknya yang menawan,
Dia cantik kerana auratnya sangat dititikberatkan,
Dia cantik kerana caranya berpakaian teramatlah sopan,
Melabuhkan tudung menutupi segala perhiasan,
 Menundukkan nafsu dan penyakit hati para perawan,
Dia cantik kerana auratnya sangat terjaga,
Biarpun dalam panas terik, hujan lebat dan banjir,
Dia rela dirinya susah, namun sesekali tidak melanggar perintah Allah.

‎"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya semasa mereka keluar, cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali sebagai perempuan yang baik-baik, maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." 
(Surah Al-Ahzab, ayat 59)

Dia cantik kerana ayu yang terpancar dek siraman nur iman,
Dia cantik kerana butir katanya yang lemah lembut,
Sangat sopan terhadap akhowat, namun tegas menjaga ikhtilat.

"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu tidak seperti perempuan-perempuan yang lain jika kamu bertakwa. Maka, janganlah kamu tunduk melemah lembutkan suara dalam berbicara sehingga bangkit nafsu orang (lelaki) yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik." 
(Surah Al-Ahzab, ayat 32)

Dia cantik kerana tersangatlah menjaga pandangan,
Dia cantik kerana jalannya yang tertunduk mematuhi perintah Tuhan,
Dia memahami bahasa cinta Tuhan-Nya,
 Melalui surat Al-Furqan untuk hamba-Nya yang beriman.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali pada yang biasa melihat dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya)..." 
(Surah An-Nur, ayat 31)

Dia cantik kerana malunya yang menebal untuk melakukan kemungkaran,
Dia mengetahui fitrah perempuan,
"Al Haya'u minal iman."
Malu itu sebahagian daripada iman.

Dia cantik kerana rohnya yang memuncak mengabdikan diri hanya pada Allah,
Dia cantik kerana sentiasa beramal dengan sunnatullah,
Pada orang tua dia berbakti,
Hanya kepada suami menyerahkan diri.

“Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah daripada sunnahku, sehingga para manusia mengamalkannya, maka ia akan mendapatkan pahala seperti pahala yang mengamalkanya, tiada berkurang sedikitpun daripada pahala mereka.” 
(HR Ibnu Majah)

Dia cantik kerana sabar tatkala diuji,
Tetap tabah walau derita mencengkam hati,
Tetap kental walau terkurung dalam jeriji,
Dia cantik kerana di bibirnya tiada rungutan,
Dibasahkan hanya dengan zikir dan pujian,
Redha menerima ketentuan Tuhan.

‎"Dan untuk memenuhi perintah Rabbmu, bersabarlah.” 
(Surah Al-Muddassir, ayat 7)

Dia bertambah cantik apabila menyeru manusia mengerjakan perintah Allah,
Dia bertambah cantik apabila ligat mengerjakan aktiviti dakwah,
Dia bertambah cantik apabila tidak penat untuk berusrah,
Dia bertambah cantik apabila kudratnya digunakan sepenuhnya berbakti untuk jemaah.

"Dan hendaklah sebahagian daripada kamu, umat yang menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dan mereka itulah golongan yang berjaya." 
(Surah Ali-Imran, ayat 104)

Dia bertambah cantik apabila memanfaatkan ilmu yang ditimba dengan redha Allah,
Dia sangat cantik apabila sentiasa memberi faedah kepada seklian ummah.

"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain." 
(HR Al-Baihaqi)

Dia cantik. Tersangatlah cantik!
Tidak ada yang setanding dengan kecantikannya.
Dia bukan sebarangan muslimah.
Dia mawar berduri mukminah.

>> Dia ialah wanita solehah :)


"Iza tadhuka, addunya tadhuka ma'aka wa iza tabki, tabki liwahdika."
Jika kamu ketawa, dunia ketawa bersama kamu. Jika kamu menangis, menangislah sendiri.

♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

IZINKANKU BUKTIKAN CINTAKU PADAMU YA RABB


Basmallah. Aku menangis lagi. Kucapai tafsir Quran yang bewarna coklat di sudut meja kecil yang terletak di sebelah katil. Lama sungguhku memerhatinya tanpa disentuh. Air mataku tetap mengalir. Perlahan-lahan membasahi pipi. Aku melantunkan ayat-ayat sucinya yang indah. Lidahku kelu untuk beberapa ketika aku melantunkan ayat-ayat terakhir Surah An-Naba'. Aku tidak mampu membaca ayat Allah itu dek kerana terlalu sedih, lalu aku pun meneliti pula tafsiran ayat yang tertulis rapi di sisi helaian Quran. 

"Dan kami menciptakan kamu berpasang-pasangan." (Surah An-Naba', ayat 4)

Seusai sahaja aku melewati ayat itu, aku menitiskan air mata. Peristiwa lalu kembali singgah di ingatanku. Pantaskah aku menyebutnya sebagai peristiwa lalu sedangkan ianya hanya terjadi pada beberapa hari yang lepas?

Mungkin Allah memberiku hidayah terlebih dahulu sedikit daripadanya. Semenjak aku menjejakkan kaki di sebuah kolej persediaan di Shah Alam, hatiku menjadi semakin terpaut pada dakwah, lidahku semakin basah mentadhabbur ayat-ayat Allah, jiwaku semakin bertambah rindu kepada tazkirah, rohku semakin hidup memperjuang risalah yang dibawa Rasulullah saw. Aku semakin bertambah cinta untuk memperingat keluarga, sahabat dan saudara-saudaraku mengenai peringatan-peringatan Allah dalam surat cinta Al-Furqan-Nya. Aku semakin menjaga ikhtilatku dalam muamalat. Niatku mahu membawa imej muslimah, namun terlalu banyak kekurangan dalam diri ini yang harus diubah supaya tidak menjadi fitnah kepada agama.

Ditakdirkan aku jatuh hati pada seseorang yang seusia denganku. Orangnya sangat baik menurutku dan anehnya aku tidak pernah bersemuka dan melihat wajahnya. Mungkin masa lalu yang membuatkan aku berpaut hati padanya kerana hubungan kami akrab sebagai pejuang gerakkan aktiviti dakwah di sebuah laman sosial yang terkenal. Namun jika dilihat pada tingkah lakuku, jauh sekali aku memaparkan tindakan seperti aku menyimpan hati padanya. Tindakanku mungkin boleh ditafsirkan kejam oleh ajnabi. Aku sangat melarangnya mendekatiku sebelum nikah apatah lagi jika menghantar pesanan ringkas yang bukan-bukan. Tazkirah mengenai agama, ayat-ayat Quran dan hadis juga aku melarangnya menyampaikan kepadaku selagi diri ini belum halal menjadi seorang isteri. Pernah sekali aku ditanya oleh adiknya setelah diikat pertunangan dalam Islam "Akak suka tak pada abang saya ni?" Aku hanya menjawab "Biarlah Allah yang mengetahui." Sebagai seorang muslimah, sudah tentulah aku mempunyai perasaan malu untuk meluahkan segala isi hatiku. Semenjak pertunangan, kami tidak lagi berhubung. Dia juga tidak mempunyai nombor telefonku melainkan adiknya. Kami hanya berhubung melalui orang tengah dan adiknya. 

Hakikatnya aku yang minta untuk diikat kerana tawaran biasiswa JPA melarang aku untuk bernikah sehinggalah aku selesai menamatkan ijazah. Untuk tempoh masa itu, agak terlalu lama aku biarkan si dia menunggu maka, dia melamarku dengan cara baik yang dianjurkan Islam. Segala perihal tentang diriku, telah dihebahkannya pada keluarganya. Ayahnya mahu melihatku, maka dia meminta izin untuk datang ke rumahku terlebih awal dalam waktu yang terdekat. Dia menghubungi waliku untuk meminta izin, namun waliku melarangnya menjejakkan kaki di rumah. Ibu dan abahku meminta aku menamatkan persediaan A-level terlebih dahulu dan setelah itu baru mengizinkan dia sampai di rumahku jika dia benar-benar serius.

Suatu hari aku meminta untuk memutuskan pertunangan secara tiba-tiba. Ketika itu peperiksaan akhir semestar semakin kunjung tiba. Adiknya tidak membalas mesejku untuk jangka waktu yang agak lama. Mungkin kerana terlalu kecewa. Setelah beberapa hari, dia menyampaikan hasratnya melalui adiknya "Takpa. Pesan pada akak, setelah  habis A-level beritahu abang, abang akan ke rumahnya." Aku menitiskan air mata melihat kesabarannya terhadapku. 

Aku menjadi semakin berubah. Tindakan dan perilaku tidak langsung mencerminkan aku seolah-olah mahu menjadi seorang yang halal buatnya. Mungkin kerana terlalu curiga, dia menyamar sebagai adiknya dengar menghantar mesej kepadaku untuk mengetahui asbab aku memutuskan pertunangan. Sejujurnya aku tidak tahu bahawa yang berbicara denganku ketika itu ialah dia, lalu aku membiasakan diri meminta agar difahami isi hati seorang perempuan kerana adiknya juga gadis remaja sepertiku. Dalam ayatku, aku menjelaskan bahawa hatiku sudah tertutup pada mana-mana lelaki dan kalau boleh mahu menerima lamaran mana-mana lelaki lain yang aku sendiri tidak kenal. Aku juga menegaskan pendirianku bahawa aku lebih rela menikah dengan orang yang mencintai aku berbanding aku mencintainya. Mungkin dia tersangat kecewa dengan tindakanku. Ya, aku tahu dia kecewa. Malam itu aku tidak dapat tidur. Aku seribu kali kecewa dengan ucapan yang aku butirkan kepadanya. Aku menangis tersesak-esak di balik selimut. Mujur sahabat sebilikku sudah tidur nyenyak dan tidak menyedari kelakuanku.

Dingin subuh menerpa tubuhku. Seusai memberi salam untuk solat sunat sebelum Solat Subuh berjemaah, aku melihat telefon bimbit yang aku cas baterinya di sudut katil. Aku menulis pesanan ringkas kepada adiknya untuk mengundur diri daripada kehidupan mereka dengan bersulamkan air mata. Pagi sebelum aku melangkah masuk ke dewan peperiksaan, aku mendapat pesanan ringkas daripada adiknya. "Jadi segala persoalan telah terjawab, saya yakin akak bukan jodoh abang saya ;D" Hati aku benar-benar terhiris dengan kata-kata itu. Terlalu pedih dan menikam qalbu. Sungguh mudah seyakin itu aku bukan jodohnya? Mungkinkah sebahagian daripada petunjuk istikharahku dan istikharahnya? Aku terima kenyataan itu dengan redha.

Aku mengerti akan kekuranganku. Aku bukanlah gadis baik dan solehah untuk didampingi olehnya. Juga bukanlah gadis cantik yang digilai ramai lelaki. Aku sedar akan hakikat itu. Aku menggigil akibat terlalu menahan hiba. Ingin saja aku menghamburkan air mata biar kelihatan bercucuran di hadapan orang ramai yang sedang mengulangkaji di luar dewan. Darahku menjadi sejuk. Fikirkanku sungguh bercelaru dan tidak menentu seolah-olah langit runtuh di hadapanku. Nafasku sesak dan badanku terumbang-ambing mahu merebahkah diri ke tanah. Aku hilang semangat untuk meneruskan langkahku ke medan peperiksaan. "Muslimah tak boleh lemah! Muslimah harus kuat!" Ada suatu bisikan yang menerpa di sudut telingaku. "Kaubawa imej Islam, maka janganlah kaubawa fitnah kepada Islam!" Mungkin itu kalimat yang Allah bisikkan dalam qalbuku agar terus bertahan dalam menghadapi hari itu. Aku kembali meneguhkan kedudukanku dan segera mengucap astarghfirullah. Ya! Muslimah tidak boleh lemah! Muslimah memang harus kuat! 

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, 
padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, 
jikalau kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 139)

Selama tiga hari berturut-turut aku menangis di kamar. Aku tidak melakukan apa-apa melainkan turun ke musollah, pulang ke bilik dan terus menangis. Aku menghafaz Surah Al-Muzzammil, surah kegemaranku untuk melupakan masalah buat seketika. Sebaik sahaja aku membuka buku untuk mengulangkaji, hibaku menerpa kembali. Aku tidak mampu mengulangkaji untuk subjek esok hari. Buku itu hampir luncai dipenuhi air mata. Ingin sahaja aku memutuskan ukhuwah dengan adiknya kerana terlalu berkecil hati, namun aku tahu memutuskan hubungan persaudaraan itu berdosa. Aku juga telah semakin sayang terhadap adiknya. Begitulah nikmat ukhuwah kerana Allah. Aku teringat akan pesanan akak naqibahku yang tidak putus asa meneruskan usrah denganku, walaupun hakikatnya kami berlainan jemaah. Namun untuk itu, aku perlukan masa dan ketenangan. Aku tidak meluahkan masalahku kepada sesiapa melainkan teman akrabku dan Tuhan yang Maha Mendengar sahaja. Ketika itu, aku lebih selesa menangis dan mengadu kepadaNya di atas sejadah berbanding menceritakan perihal diriku kepada teman-teman. Aku memang seorang yang memendam. Ya! Tersangatlah pendiam dan memendam. Setelah beberapa hari mengumpul kekuatan, aku menggagahkan diriku menghantar pesanan ringkas bahawa aku redha akan kata putusnya dan tidak sesekali akan memutuskan ukhuwah dengan adiknya walau apa jua keadaan yang berlaku. 

Sebuah sajak telahku karang untuk adiknya di dalam musollah sementara menunggu azan Isya' berkumandang.


Aku mencintaimu tanpa mengira kedudukanmu,
Aku menyayangimu...
Tanpa mengira siapa dirimu, latar belakangmu, asal usulmu dan sejarah hidupmu,
Aku mengasihimu tanpa sebab dan alasan,
Aku mencintaimu kerana Allahlah yang hadirkan rasa itu,
Ketahuilah jika suatu saat engkau berpaling dan meninggalkanku,
Aku tidak akan kecewa malah tidak akan meninggalkanmu,
Kerana Allah jugalah yang menetapkan rasa itu...
Sebagai peringatan buatku agar bersabar dalam berukhuwah,
Dan ketika kaulupakanku...
Tidak akan sesekali diri ini melupakanmu,
Kerana aku mencintaimu kerana Allah,
Kerana aku menyayangimu kerana Allah,
Dan tetap mengasihimu kerana Allah...
Bahkan sentiasa mendoakan dirimu agar ukhuwah dan cinta ini kekal mekar di jalan Allah ♥

"dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang beriman), walaupun kamu menginfakkan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh Dia Maha Perkasa Maha Bijaksana." (Surah Al-Anfal, ayat 63)

Tet.Tet. Bunyi pesanan ringkas masuk. Adiknya meminta agar aku jangan mengundur diri dari kehidupannya. Aku terharu dan hubungan aku dan adiknya kembali akrab seperti biasa. Aku semakin sayang terhadap adiknya. Malam beberapa hari setelah hari lahirku yang ke-18, aku diberitahu bahawa segala soalan cepumas yang diutarakan oleh adiknya untukku itu adalah daripada si dia sendiri. Aku menangis lagi. Bukan menangis kerana kecewa akan tindakannya kerana aku memahami situasinya ketika itu. Jika aku berada dalam kondisinya, mungkin aku juga akan mengambil tindakan yang sama. Tetapi sebenarnya aku lebih sedih bercampur kecewa apabila dia seolah-olah sudah berputus asa terhadapku. Mungkin kerana aku menolaknya buat kali yang kedua. Berulang kali adiknya meminta maaf atas tindakan abangnya itu. Ditanyakan lagi kepadaku mengenai soalan yang sama."Bagaimana jika abang saya mengambil akak dengan cara yang betul?" Dengan emosi yang masih meruntun qalbu, aku tidak menjawab soalannya itu, sebaliknya aku meminta agar dia mendekatkan diri kepada Pencipta.

Ya! Seandainya dia tahu, memang sengaja aku lakukan hal itu kepadanya. Memang sengaja aku memutuskan ikatan pertunangan yang menurutku tidak halal ini. Alasanku bukanlah kerana aku sudah menemukan seseorang yang lebih baik daripadanya atau melihat kekurangan dalam dirinya sehingga timbul perasaan benci atau iri hati, namun entah mengapa ketika berulang kali mendengar isu zina, hatiku bergetar. Setiap kali mendengar tazkirah mengenai ikhtilat hatiku berdebar dan terlalu takut pada Allah. Hakikatnya, aku tidak mahu kami sama-sama terjebak dalam zina hati. Tiket tunang bukanlah tiket untuk menghalalkan perasaan rindu antara satu sama lain. Tiket tunang bukanlah tiket untuk dia secara mutlaknya merasakan aku miliknya yang abadi, juga aku merasakan dirinya sudah semestinya bakal aku nikahi. Tiket tunang bukanlah tiket untuk kami berhubung sesuka hati mengingatkan antara satu sama lain mengenai agama dan mati. Aku hanya mahu menjadi yang halal buatnya dengan ikatan pernikahan bukan semata didasari dengan hubungan pertunangan. Aku yang memulakan, maka izinkan aku untuk mengakhirkan. 

Mungkin aku terlalu gentar jika ikatan ini dileraikan, maka jodohku sudah tiada lagi. Tetapi aku lupa Allahlah yang berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

"Kamu diwajibkan berperang untuk menentang pencerobohan sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah, ayat 216)

Aku berbohong padanya. Aku cuba meyakinkan dirinya dengan menyatakan bahawa aku akan menerima lamaran lelaki lain walhal hanya Tuhan yang mengetahui betapa berkecainya hati ini apabila menanti seseorang tetapi dipinang oleh orang lain. Aku menyatakan padanya bahawa hati ini telah tertutup pada mana-mana lelaki, namun hingga kini aku masih mempunyai hati padanya. Kami terlalu muda dalam menuju gerbang pernikahan. Aku tidak boleh menjadi fitnah kepadanya. Dia harus menjadi seorang pejuang agama yang sentiasa memikirkan masalah ummah, juga menjadi ketua keluarga dalam mencari rezeki untuk orang tuanya. Dia harus mencintai Engkau dan rasul-Mu terlebih dahulu. Dia harus mengutamakan cintanya pada orang tua dan keluarganya terlebih dahulu. 

"Aku terlalu menyanyanginya, ya Allah dan aku tahu Engkau mencemburuiku. Izinkanlah aku membuktikan cintaku pada-Mu." Pohonku menangis dalam tahajudku.


Ya Allah...
 Terlalu banyak air mata ini menangis kerana lelaki yang belum halal buatku,
Ya Allah terlalu banyak dosa ini dalam melupakan-Mu,
Ya Allah ampunkanlah dosaku,
Ya Rahman ampunkanlah dosaku,
Ya Rahim ampunkanlah dosaku,
Izinkan aku membuktikan cintaku pada-Mu,
Aku ingin syahid di jalan-Mu,
Aku terlalu mencintainya ya Allah dan aku tahu Engkau cemburu,
Ya Allah dengarkanlah rintihanku,
Jika dengan mencintai seseorang, seseorang itu akan menghadiahkan barangan yang paling berharga buat orang yang dicintainya,
Maka izinkanlah ya Allah,
Aku membuktikan cintaku pada-Mu,
Aku hadiahkan hatiku pada-Mu,
Aku hadiahkan orang yang aku cintai kepada-Mu,
Aku korbankan hatiku untuk-Mu,
Aku korbankan orang yang aku sukai untuk-Mu,
Semoga air mata ini menjadi hujah untuk aku mendapat syurga-Mu,
Maafkan diri ini andai masih belum ikhlas menghadirkan seluruh hati dalam mencintaiMu ya Rabb,
Ampunkan dosaku andai diri ini terlalu hina,
Jadikanlah aku kekasih-Mu ya Rabb,
Sungguh aku cemburu terhadap orang-orang yang Engkau amat kasihi.

Ya Allah cabutlah rasa ini padanya,
Andai ia melalaikan dan membuatku alpa,
Aku ingin mencintai-Mu cuma,
Janganlah hadirkan aku jatuh hati andai belum tiba saatnya,
Ya Tuhan tidak mengapalah jika tiada jodoh buatku di dunia,
Binalah tempatku di syurga dan wildan firdaus sebagai penggantinya.

Kata akak naqibahku "Buatlah apa yang terbaik untuk awak. Sekarang ini berkorbanlah untuk membuktikan cinta awak pada Allah." Aku menitiskan air mata membaca tulisan akak naqibahku untukku. Tambahnya lagi, jarakkanlah diri daripada berhubung dengan adik lelaki itu jika itu boleh menambahkan lagi ingatanku pada si dia. Bukanlah niat mahu memutuskan ukhuwah, namun berikan ruang untuk hati ini tenang dalam menerima cinta Allah. Mungkin dia sudah putus asa untuk melamarku. Mungkin dia sudah putus asa dalam meminangku. Mungkin dia sudah menemukan seseorang yang baru. Mungkin dia sudah berjaya melupakan aku. 

 "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan Allah." (HR At-Tarmizi dan Ibn Majah)

Buat pemilik tulang rusuk ini,
Aku tidak tahu siapakah engkau yang sebenarnya,
Aku juga tidak tahu di manakah engkau berada,
Mungkin kau ialah orang yang aku cintai,
Atau mungkin bukan orang yang aku sukai,
Juga mungkin kau ialah orang yang belum lagi aku temui saat ini,
Juga mungkin kau ialah sahabat-sahabat seperjuanganku yang telah lama aku kenal di bumi ini.

Buat pemilik tulang rusuk ini,
Janganlah engkau berkecil hati...
Jika saat sebelum menjadi halal aku terlalu kejam kepadamu,
Janganlah engkau berputus asa terhadap diri ini...
Andai aku terlalu kasar dalam menjaga hatimu,
Janganlah kaupalingkan diri...
 Andai aku terlalu syadid dalam menjaga ikhtilatku,
Kerana sememangnya aku telah berjanji,
Dengan Tuhanku yang Maha Mengasihani,
Bahawa biarkan aku kejam terhadap ajnabi,
Yang belum tentu halal buat diri ini,
Namun setulus hati aku memperhambakan diri,
Buat seorang insan bernama suami.

Buat pemilik tulang rusuk ini,
Aku menunggumu dengan cara baik,
Pinanglah aku dengan cara yang terbaik,
Aku menanti dirimu,
Menemui waliku terlebih dahulu,
Bukan menggodaku dengan cara yang tidak menentu,
Dengan izin Tuhanku,
Tentunya aku menerima dirimu,
Dengan hati yang terharu,
Menjadikan dikau suri di hati,
Menjagamu dengan rapi,
Sehingga akhir hayatku,
Ajalku datang menjemputku.


Sehingga kini aku membiasakan diri memakai cincin. Menganggap bahawa diri ini sudah bertunang walaupun hakikatnya tidak. Menurut luahan sahabatku, ikhwan (lelaki) sedikit gentar menghampiri akhowat (muslimah) yang memakai cincin kerana mereka menganggap akhowat yang memakai cincin ini sudah dipinang oleh lelaki lain :)


♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

Copyright@All right reserved by Wardah Filzatunnafsi