❤ welcome to cintayangbertahmid.blogspot.com ❤ anyone who can bow to Allah can stand up to anything ❤

ZINA: APAKAH SOLUSINYA?


Sabda Rasulullah saw "Berhati-hatilah jangan sampai kalian berkhalwat dengan wanita, demi diriku yang berada di tangan-Nya, tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan masuk syaitan di antara kedua-duanya. Sesungguhnya adalah lebih baik seorang lelaki untuk bergesel dengan seekor babi yang berlumuran tanah atau lumpur daripada dia menggeselkan bahunya dengan seorang wanita yang tidak halal bagi dirinya."

Basmallah. Hari ini ana ingin memberikan pendapat secara direct. Tiada kias-kiasan dan tajuk yang ana ingin kupaskan pada hari ini adalah berkaitan zina. Jika suatu ketika dahulu ana berpendapat bahawa isu zina adalah merupakan suatu perkara yang agak terpencil dan merupakan isu minor dalam kalangan remaja (suatu ketika dahulu ketika masih menjadi katak di bawah tempurung). Kini, setelah melangkah ke alam universiti, ana merasakan bahawa isu seks luar nikah ini merupakan isu paling besar yang menular dalam kalangan remaja, khususnya dalam kalangan para pelajar sekolah, siswi dan siswa. Mungkin bagi antum yang menetap di sekolah agama, maahad, sekolah elit, sekolah baik-baik (macam SBP dan MRSM), isu zina adalah merupakan isu asing jika hendak dibandingkan dengan isu mencuri, bawa handphone dan 'fly' (keluar asrama tanpa kebenaran). Adapun jika pelajar asrama didapati melakukan seks di dalam kawasan sekolah, maka isu ini dianggap sebagai paling luar biasa dan sangat kecoh dibahaskan. 

Jika dahulu antum yang berada dalam bi'ah solehah seperti di sekolah pondok, maahad dan Darul Quran berasa sangat terharu dan teruja kerana berpendapat bahawa terlalu ramai ukhti solehah dan akhi soleh di Malaysia, maka ana ingin membuka mata kalian lebar-lebar bahawa betapa lebih ramai umat yang rosak di luar sana, dianggarkan hanya 30 peratus sahaja umat Malaysia yang solat dan berada dalam zon selamat daripada melakukan seks. Jadi apa peranan antum yang ada basic dan tarbiah agama ini kepada masyarakat sekeliling? Antum yang dahulunya berada di sekolah agama membiarkan sahaja masalah seks yang melanda di kampus pengajian? Atau mungkin antum juga terlibat sekali dalam isu sebegini? Nauzubillah min dzalik. 

Alyad ulya khairum minal alyad sufla.
"Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah." 
(Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima)

 Saranan ana, hentikan sikap mahu menerima tetapi banyakkan sikap ingin memberi. Sampai bila kita harus menerima sedangkan hati kedekut untuk memberi? Ya! Memberi kesedaran kepada umat bahawa betapa terkutuknya perbuatan zina di mata Allah dan mata masyarakat.
 
"Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah melibatkan pandangan, zina lidah itu ialah ucapan, zina hati itu ialah nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya." 
(HR Bukhari)

Zina terbahagi kepada banyak cabang seperti zina mata, zina mulut, zina hati dan zina anggota (kaki, tangan dan kemaluan). Zina mata adalah merujuk kepada memandang perkara-perkara maksiat seperti menonton video lucah dan perkara-perkara yang sekufu dengannya.

 Peringatan untuk lelaki: Sekali terpandang perempuan ialah rezeki. Dua kali pandang perempuan yang sama, maka itu ialah nafsu.

 Zina lisan atau mulut ialah berbicara mengenai hal-hal yang berkaitan zina atau membawa kepada penzinaan. Zina kaki ialah menuju ke tempat maksiat seperti pub, rumah pelacuran dan disko atau melangkah ke mana sahaja dengan tujuan melakukan maksiat. Zina tangan ialah melakukan maksiat dengan tangan seperti meraba dan sebagainya. Zina kemaluan pula ialah melakukan persetubuhan antara lelaki bukan muhrim dengan perempuan ajnabi tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Zina hati ialah perasaan rindu yang melampau terhadap ajnabi sehingga tak lalu makan, mandi tak basah, tidur tak lena serta membayangkan melakukan perbuatan zina dengan ajnabi. 

Isu zina yang ingin ana tekankan di sini ialah isu zina yang paling berat dalam kalangan remaja iaitu persetubuhan antara lelaki dan perempuan ajnabi tanpa ikatan pernikahan yang sah di sisi Islam. Apa reaksi antum semua jika ada dalam kalangan sahabat, housemate, roommate, adik, abang, kakak atau ibubapa sendiri yang terlibat dalam kes ini? Berdiam diri atau membiarkan sahaja si dia melipatgandakan dosanya melakukan zina secara berterusan? 

Ana ingin simpulkan usaha yang sepatutnya digalas oleh semua pihak termasuklah diri sendiri, sahabat handai dan masyarakat dalam mengatasi isu major ini. Antara solusi yang ana boleh cadangkan di sini ialah:

1) Nasihat secara sulit mahupun terang-terangan

Ini adalah langkah paling awal untuk menekankan si pelaku akan keburukan atau impak negatif zina dari sudut agama, kesihatan dan pandangan buruk masyarakat. Jika si pelaku zina melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan, maka wajiblah ditegur secara terang-terangan juga, walaupun dilihat amat mengaibkan. Mungkin, antum boleh tambah usaha lain seperti memberi buku-buku tazkirah agama kepadanya dengan syarat mesti sudah mengetahui masalah si penzina dan sudah berkawan baik dengannya. Sebabnya? Secara fitrahnya, manusia akan menerima pendapat orang sekeliling yang berbuat baik dan yang paling rapat dengannya serta yang paling tahu tentang dirinya.

2) Doa

Addu'a silahul mukmin. 
"Doa itu senjata mukmin."

Di samping menasihati si pelaku zina, maka doa juga harus disertai secara istiqamah agar si pelaku hentikan perbuatan terkutuknya itu secara perlahan-perlahan. Mungkin ada yang rasa berat hati untuk mendoakan orang lain yang melakukan kemungkaran kerana fitrah manusia itu sendiri benci akan orang yang melakukan maksiat, namun ketahuilah janji Allah pada orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya itu seperti hadis di bawah:

Rasulullah saw bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya ialah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang dia dapatkan.''

3) Tazkirah mengenai mati atau zina menurut Al-Quran dan hadis

"Dan tetaplah memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin." 
(Surah Az-Dzariyat, ayat 55)

Ana suka ingin mengambil contoh yang ustazah ana berikan berkenaan cara-cara untuk kita memberi ibrah (peringatan) terhadap pelaku zina yang tak reti-reti nak insaf. Antum semua boleh cuba jika nak tahu keberkesanannya. Ustazah ana tekankan konsep perli. Contohnya, jika si pelaku zina ada twitter atau Facebook, jangan malu, jangan segan dan jangan rasa sebersalah untuk postkan ayat-ayat Quran yang berkaitan zina di wall si penzina. Hantar banyak-banyak pun takpe. Digalakkan lagi. Contoh kita post begini pada wallnya:

“Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” 
(Surah An-Nur, ayat 26)

Post lagu Menanti Di Barzakh pun takpe. Ada yang mungkin bertanya, tidak mengaibkan dia ke? Jawapan ana paling mudah ialah jika hukuman zina sendiri dibuat di hadapan khalayak ramai, maka sudah jelas lagi bersuluh bahawa Allah memang mahukan penzina diaibkan kerana perbuatan zina memang mengaibkan dan perlu dilaksanakan secara terang-terangan sebagai pengajaran.

Bagi yang mahukan pendekatan dakwah secara kreatif, mungkin antum boleh memulakan langkah awal dengan menulis tazkirah di tepi whiteboard kelas untuk melazimi ayat-ayat Allah kepada rakan-rakan sekelas. Alahai, macam yang selalu buat waktu dekat sekolah dulu! ==" Mulakan dengan pendekatan dakwah yang simple seperti nikmat syurga dan azab api neraka oleh Allah. Kemudian, baru tekankan mengenai azab dan keburukan zina.

Ana suka mengambil pengajaran mengenai mati kerana secara normal dan warasnya, seseorang yang mengingati mati pasti berasa gentar untuk melakukan maksiat kerana tahu ajal bakal memanggilnya pada bila-bila masa, maka insyaAllah, dosa juga akan berkurangan. Jika si pelaku zina ingin melakukan apa-apa tindakan, maka kaitkanlah dengan mati. Contohnya: "Aku nak keluar malam ni kejap. Pergi rumah kawan." Ana sarankan antum semua jawab begini "Hati-hati berjalan dan awasi tindakan. Mana tahu ajal tu melambai-lambai kat pintu. Dah tak sempat bertaubat nanti." Contoh lain pula adalah ketika si penzina ingin makan "Aku makan dulu ya." Antum pun jawab begini "Mulakan dengan bismillah. Aku maafkan segala kesilapan kau kat aku selama ini. Mana tahu, dalam seronok menikmati rezeki, kau pula yang pergi dulu."

4) Beritahu pensyarah, ustaz dan ustazah untuk bermusyawarah

Perkara zina ini bukan isu yang main-main. Harus dibuktikan kesahihan zina dahulu baru tidak dicop sebagai qazaf.

"Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina (qazaf), sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya ia daripada orang-orang yang benar." 
(Surah An-Nur, ayat 6)

Setelah terbukti kesahihannya, maka beritahulah guru, pensyarah atau ustaz dan ustazah yang terdekat untuk bermusyawarah bagi menyelesaikan masalah kronik ini. Hal ini sangat penting kerana orang yang lebih tua lebih banyak pengalaman dan makan garam. Mereka juga boleh jadi mata-mata untuk mengawasi tindak tanduk si pelaku zina di dalam kelas mahupun ketika di luar kelas. Jika perlu, beritahu pada sahabat-sahabat yang dipercayai untuk mengawasi tingkah laku si penzina khususnya orang yang terdekat dengan si penzina seperti sahabat baiknya atau orang sebilik dengannya.

5) Pulaukan si pelaku zina

Jika segala macam usaha tidak berhasil juga, maka disarankan bagi sahabat-sahabat atau keluarga si pelaku zina memulaukan si penzina sehinggalah si penzina berasa insaf dan bertaubat. Jika anda merupakan housemate dan roomate si pelaku zina, moh ramai-ramai kita angkut barang dan harta benda, keluar dari tinggal sebilik dan serumah dengannya. Jika antum merupakan classmate si dia, maka pulaukanlah dengan tidak berteman dengannya selama beberapa bulan (kalau perlu) sehingga dia benar-benar insaf dan bertaubat. Menurut syarak, cara ini dibenarkan kerana sudah darurat. Jika si penzina merupakan keluarga antum pula, jangan pula antum pindah keluar rumah nanti mana pula antum nak tinggal kan? Tetapi pulaulah dengan cara tidak mempedulikan kata-kata dan permintaan si penzina sehingga dia benar-benar terasa dengan perbuatan antum semua dan insaf serta kembali ke pangkal jalan.

6) Sampaikan berita pahit ini kepada keluarga si pelaku zina

Qul haq walau kana murron.
"Berkata benarlah walaupun pahit."

Memang agak berat untuk kita membuka aib rakan, namun ketika keadaan yang sangat terdesak ibubapa amat diperlukan untuk menyelesaikan kes ini. Hal ini kerana mereka yang membesar dan mengandungkan anak-anak, maka jelaslah lebih mengetahui tentang perilaku anak-anak. Memang hiba! Namun ibubapa hendaklah berikan kerjasama untuk mengatasi isu yang sangat kritikal ini.

7) Jarakkan hubungan si penzina lelaki dan penzina perempuan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." 
(Surah Al-Isra', ayat 32)

Menurut pendapat imam empat mazhab (mazhab Hanbali, Maliki, Hanafi dan Syafiee), hukuman terhadap penzina lelaki dan perempuan ghair muhsan (belum berkahwin) ialah hudud iaitu sebatan sebanyak 100 kali, namun tidak pula perlu diasingkan jarak antara penzina lelaki dan perempuan selama setahun. Hal ini  adalah kerana dikhuatiri penzina perempuan khususnya akan berzina semula dengan lelaki lain di tempat lain akibat tidak dapat mengawal nafsu. Contohnya: jadi pelacur. Menurut perawi hadith Imam Bukhari dan Imam Nasa'i, penzina lelaki dan penzina perempuan hendaklah diasingkan sama ada dibuang berlainan negeri, dikurung sehingga sukar untuk bertemu kembali selama setahun atau sehinggalah benar-benar sudah bertaubat. Dalam masa yang sama hukuman sebat 100 kali tetap juga dijalankan dengan disaksikan di hadapan orang-orang yang beriman.

8) Hudud

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-keduanya seratus kali sebatan; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman." 
(Surah An-Nur, ayat 2)

Hukuman untuk penzina lelaki dan perempuan ghair muhsan (masing-masing yang belum berkahwin) ialah 100 kali sebatan dengan disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman. Hukuman bagi penzina lelaki dan perempuan iaitu muhsan (kedua-duanya yang telah berkahwin atau salah seorang sahaja yang telah berkahwin) ialah direjam sampai mati. Menurut Imam Hanafi pula, jika lelaki musyrik (kafir) berzina dengan perempuan Islam, maka hukuman takzir dikenakan terhadap penzina lelaki (musyrik) dan huhud dijalankan terhadap penzina perempuan (Muslim). Tetapi menurut imam-imam yang lain, hukuman hudud tetap dilaksanakan kepada lelaki dan perempuan yang berzina tidak kiralah salah seorang daripada mereka merupakan musyrik ataupun orang kafir.

9) Nikah Khitbah tiket untuk bercouple

"Penzina-penzina perempuan tidak boleh menikah kecuali dengan penzina-penzina lelaki ataupun dengan lelaki musyrik dan penzina-penzina lelaki tidak boleh menikah kecuali dengan penzina-penzina perempuan ataupun dengan perempuan musyrik. Dan demikian itu diharamkan oleh orang mukmin." 
(Surah An-Nur, ayat 3)

Lihat! Betapa beratnya hukuman zina yang Allah turunkan kepada pelakunya sehinggakan diharamkan berkahwin dengan lelaki dan perempuan yang beriman. Jadi, kalau tak tahan dan tidak pandai mengawal nafsu, maka kahwinlah dengan segera.

Sabda Rasulullah saw "Tidak ada ubat yang lebih menyenangkan bagi lelaki dan perempuan yang saling mencintai melainkan pernikahan."

Ini ialah solusi yang paling digalakkan dalam Islam iaitu berkahwin khususnya pada awal usia (jika tak mampu menahan nafsu). Secara literalnya, khitbah bermaksud tunang. Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya cuma bezanya pasangan suami isteri tidak tinggal serumah dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti masih menuntut di kolej atau universiti dan tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah. Antara kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, datingstudy bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram. Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana dia menghamilkan anaknya yang sah nasab. Namun pasti ada yang tertanya-tanya, tanggungjawab sebagai suami dan isteri bagaimana? Tidak mungkin hendak diremehkan. Senang cerita, kalau dah bernikah nanti, automatik seseorang itu akan belajar menjadi matang dan lebih bertanggungjawab terhadap pasangan.

10) Peranan media massa, dakwah masyarakat dan aktiviti keagamaan

"Barangsiapa di antara remaja berkahwin dalam usia muda, maka menangislah syaitan dan syaitan mengeluh "Aduh, celaka aku! Agamanya telah dipelihara daripada godaanku." 
(HR Ibnu 'Addi)

Walaupun pada hakikatnya usaha masyarakat kurang memberi impak kepada si pelaku zina untuk bertaubat, namun setidak-tidaknya usaha ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa betapa perbuatan zina dilaknat oleh Allah swt.

"Ya Allah sesungguhnya kami hanya hamba yang kerdil, tidak sempurna malah tidak terkecuali daripada melakukan dosa. Engkau jauhilah kami daripada segala perbuatan zina dan maksiat agar hati kami tidak kotor. Engkau peliharalah diri kami daripada azab kubur, jauhilah anggota tubuh kami daripada menghampiri zina dan dijilat oleh api yang mendidih di akhirat kelak. Andai Engkau izinkan kami jatuh hati, kekanglah nafsu kami sehingga waktunya tiba buat kami menjadi halal antara satu sama lain agar tiada perbuatan yang tidak diredhai berlaku. Hanya Engkau yang Maha mendengar segala sesuatu. Aamiin..."


Nasihat untuk kaum Hawa!
Selamat beramal :)



p/s: maaflah kalau kecik benor. Sila klik pada gambar untuk pembesaran =="

♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

Copyright@All right reserved by Wardah Filzatunnafsi