❤ welcome to cintayangbertahmid.blogspot.com ❤ anyone who can bow to Allah can stand up to anything ❤

WANITA ITU FITNAH!

Wanita Itu Fitnah!

Basmallah. Hari ini ana ingin berkongsi kisah berkenaan wanita melalui penceritaan hidup Imam Hassan Al Basri, Rabiyatul Adawiyah dan seorang wanita kota. Ramai yang tertanya-tanya Rabiatul Adawiyah kah cinta pertama Hassan Al Basri? Biar betul? Tapi bukankah Rabiatul Adawiyah tidak pernah bernikah? Benarkah?

Jawapannya akan terungkai melalui kisah ini:

Wanita itu fitnah,
Gerak gerinya mencentuskan kontroversi,
Bahasa tubuhnya mampu mencairkan lelaki,
Suaranya yang lembut mampu mengalahkan ketegasan pria,
Meleraikan dendam dan marah yang membara,
Wajahnya memukau isi dunia,
Rabiatul Adawiyah wanita terpelihara,
Cintanya hanya pada Allah,
Imannya memuncak memangkah fitrah,
Gadis cinta pertama Hassan Al Basri imannya mantap,
Hidupnya di syurga setelah mata terlelap,
Menderitakan diri demi meraih redha Allah,
Dia bimbang menjadi fitnah,
Mengorbankan diri untuk Allah.

Duhai muslimah perindu jannah, 
Ingin aku kongsikan kisah ini,
Agar kita beroleh ibrah,
Pahala demi Allah,
Jadilah dirimu insan terpelihara,
Bukan fitnah hidup di dunia,
Kerana menjadi wanita syurga bukannya mudah,
Perlukan hidup yang bermujahadah.

CERITA 1: KISAH SEORANG WANITA YANG MENCUNGKIL MATANYA

Kisah cinta Hassan Al Basri bermula dengan pertemuannya dengan seorang gadis kota yang cantik jelita. Dalam kitab Jawahirul Bukhari menerangkan bahawa Hassan Al Basri sewaktu muda dan ketika zaman jahiliahnya sangat suka memakai pakaian yang 
cantik-cantik dan kegemarannya ialah suka berjalan-jalan di sekitar kota Basrah.

Pada suatu ketika Hassan Al Basri sedang berjalan, maka dia terpandang seorang wanita yang sangat cantik dan menarik perhatiannya, lalu Hassan Al Basri mengikuti belakang gadis tersebut. Apabila wanita itu merasa ada orang sedang mengekorinya, maka dia pun menoleh ke belakang dan melihat seorang jejaka iaitu Hassan Al Basri, lalu wanita itu berkata "Wahai orang muda! Apakah kamu tidak malu?" Tambahnya lagi "Malulah kamu kepada Allah swt yang Maha Mengetahui mata yang khianat dan apa-apa yang terdapat di dalam hati."

Hassan Al Basri tertarik kepada wanita tersebut kerana imannya yang mantap dan terpendamlah rasa cinta dalam hatinya. Hassan Al Basri tidak dapat mengawal nafsunya, lalu dia tetap mengekori wanita itu dari belakang. Apabila wanita itu melihat ada lelaki terus mengikutinya, maka berkatalah wanita itu "Mengapa kamu mengikutiku?" Jawab Hassan Al Basri "Sebenarnya aku terpesona dengan matamu yang cantik itu." Sebaik sahaja wanita itu mendengar kata-kata Hassan Al Basri, maka dia pun berkata "Baiklah, oleh kerana kamu cintakan mataku, maka aku harap kamu tunggulah di sini, sebentar lagi aku akan berikan kepada kamu apa yang kamu kehendaki."

Setelah berkata demikian, maka wanita itu pun pergi. Hassan Al Basri berkata dalam hati "Nampaknya, dia telah menerima cintaku." Maka duduklah Hassan Al Basri di tempat tersebut menanti kedatangan wanita itu. Tidak lama kemudian datanglah seseorang pembantu (amah) menghampiri Hassan Al Basri sambil memberikan sebuah kotak yang tertutup, lalu Hassan Al Basri membuka kotak itu dan terperanjat apabila mendapati di dalam kotak itu terdapat sepasang biji mata. Kemudian, berkata pembantu tersebut "Tuan puteriku berkata dia tidak memerlukan mata yang menyebabkan terpesonanya seseorang itu." Apabila Hassan Al Basri mendengar kata-kata pembantu tersebut, maka gementarlah seluruh badannya serta berdiri bulu romanya. Dia pun memegang janggutnya dan berkata pada dirinya sendiri "Celaka betul kamu ini, sudahlah berjanggut masih tidak ada rasa malu, sebagaimana malunya wanita itu!"

Setelah Hassan Al Basri menyedari kesalahannya, dia pun pulang ke rumah dan menangis semalaman. Pada keesokan harinya, Hassan Al Basri terus pergi ke rumah wanita itu untuk meminta maaf dan supaya wanita itu menghalalkan kesalahan yang dia lakukan. Apabila dia menghampiri rumah wanita tersebut, dia terdengar suara tangisan kaum wanita dalam rumah tersebut, maka dia pun bertanya kepada mereka yang berada di situ. Dia diberitahu bahawa wanita itu telah meninggal dunia. Hassan Al Basri tidak dapat menahan kesedihannya, lalu dia kembali ke rumah dan menangis selama tiga hari. 

Pada malam yang ketiga, dia bermimpi bertemu dengan perempuan itu. Wanita itu telah ditempatkan Allah di dalam syurga, lalu Hassan Al Basri berkata "Kamu halalkan segala kesalahanku terhadapmu." Kemudian wanita itu berkata "Sesungguhnya aku telah menghalalkan segala-galanya dan aku telah mendapat kebaikan yang banyak daripada Allah disebabkan kamu." Setelah Hassan Al Basri mendengar kata-kata wanita itu dia pun berkata "Berilah aku sesuatu nasihat yang baik."

Berkata wanita tersebut "Dengarlah nasihatku ini! Apabila kamu bersendirian hendaklah kamu berzikir kepada Allah SWT setiap pagi dan petang, beristighfarlah. Mohonlah ampun kepada Allah SWT dan bertaubatlah kepada-Nya."

Akhirnya Imam Hassan Al Basri melaksanakan segala yang dinasihatkan kepadanya sehingga dia menjadi seorang yang zuhud dan mashyur dalam kalangan masyarakat dan taat kepada Allah swt serta menjadi wali (kekasih Allah).

Duhai muslimah,
Seorang wanita telah mencungkil matanya,
 Disebabkan menjadi bahan fitnah,
Tetapi wanita hari ini,
Berlumba-lumba untuk menjadi fitnah,
Mendedahkan aurat mereka dengan bermegah-megah,
Mendedahkan apa yang dilarang Allah,
Supaya ajnabi terpikat dan terpesona sudah.

Wahai saudariku,
Tutuplah auratmu dengan sempurna,
Ketahuilah yang melihat aurat itu,
Terdiri daripada mereka yang mahu merosakkan,
Bukan yang mahu memelihara dirimu,
Dan apabila seseorang itu cinta kepada bentuk wanita yang ghairah,
Maka sesungguhnya ajnabi itu berserta syaitan,
Dan nafsu sebagai teman.

Duhai saudariku,
Tidak rugi seseorang wanita itu menutup auratnya,
Melainkan dia beroleh pahala,
Rahmat dan syurga di sisi Allah,
InsyaAllah, selamat daripada segala macam fitnah.

CERITA 2: KISAH HASSAN AL BASRI DENGAN RABIATUL ADAWIYAH


Dikisahkan dalam sebuah kitab bahawa Hassan Al Basri, Malik bin Dinar dan Tsabit Al Banny telah pergi ke rumah Rabiatul Adawiyah. Apabila Hassan Al Basri bertemu dengannya, maka dia pun berkata "Wahai Rabi'ah pilihlah salah seorang daripada kami sebab nikah itu ialah sunnatullah saw."

Rabiatul Adawiyah mengajukan soalan pertama kepada Hassan Al Basri dengan katanya "Apa pendapat kamu di hari kiamat nanti, ada segolongan manusia di dalam syurga saya tidak peduli dan ada pula segolongan manusia di dalam neraka saya tidak peduli, maka dalam golongan manakah saya nanti?"

Mendengarkan kata Rabi'ah itu, maka Hassan Basri pun berkata "Aku tidak tahu."

 Rabi'ah mengajukan soalan kedua pula dengan berkata "Malaikat telah membentuk aku dalam kandungan ibuku, adakah aku akan menjadi orang yang sengsara ataupun orang yang berbahagia?"

Lalu Hassan Al Basri pun bekata "Aku tidak tahu."

Rabi'ah mengajukan soalan yang ketiga dan Imam Hassan Al Basri masih menjawab tidak tahu. Kemudian Rabi'ah mengajukan soalan yang keempat "Kubur itu mungkin salah satu daripada taman-taman syurga dan mungkin juga salah satu liang neraka, bagaimanakah kubur saya nanti?"

Hassan Al Basri bekata "Aku tidak tahu."

Soalan yang kelima pula ditanya "Pada hari wajah-wajah manusia memutih bersih dan wajah-wajah manusia lainnya menghitam muram, maka bagaimanakah keadaan wajah saya nanti ?"

Berkata Hassan Al Basri "Aku tidak tahu."

Oleh sebab keempat-empat mereka tidak dapat menjawab pertanyaan Rabi'ah, maka mereka pun menangis dan pulang ke rumah masing-masing.

Dikisahkan setelah Rabi'ah telah bersuami dan suaminya meninggal dunia, maka Hassan Al Basri dan rakan-rakannya datang lagi ke rumahnya untuk meminang. Setelah mendapat kebenaran masuk, maka Rabi'ah pun menutup hijab dan duduk di belakang hijab.

Hassan Al Basri memulakan percakapan "Wahai Rabi'ah sesungguhnya suamimu itu telah meninggal dunia. Oleh itu, kamu harus bersuami pula."

Rabi'ah berkata "Baiklah, siapakah di antara kamu yang paling alim, maka saya akan hambakan diri ini menjadi isterinya."

Lalu berkata sahabat-sahabat Hassan Al Basri, 
"Di antara kami yang paling alim ialah Hassan Al Basri."

Kemudian, Rabiatul Adawiyah berkata "Baiklah, kalau kamu dapat menjawab empat soalanku ini, maka aku akan memperhambakan diri menjadi isterimu."

Hassan Basri berkata "Tanyalah, semoga Allah swt akan menolong aku menjawab soalanmu."

Rabi'ah memulakan pertanyaan "Bagaimanakah pendapatmu kalau saya mati dan keluar dari dunia ini, adakah saya keluar berbekalkan iman ataupun tidak?"

Kata Hassan Al Basri "Itu ialah sesuatu yang ghaib dan yang tahu hanya Allah swt yang Maha Mengetahui."

Bertanya Rabi'ah lagi "Bagaimana pendapatmu, kalau saya sudah ditidurkan dalam kubur nanti dan ditanya oleh malaikat Mungkar dan Nankir, bolehkah saya menjawab soalan mereka itu?"

Kata Hassan Al Basri "Itu ialah sesuatu yang ghaib dan yang tahu hanya Allah swt yang Maha Mengetahui."

Rabiatul Adawiyyah bertanya lagi "Apabila semua manusia sudah dihalau pada hari kiamat dan bertebaranlah kitab-kitab catatan amal mereka, sebelah manakah kitab saya akan diberi, di sebelah kanan atau kiri?"

Berkata Hassan Al Basri "Itupun soalan ghaib."

Rabiatul bertanya soalan seterusnya "Apabila manusia sudah dipanggil, sebahagian ke syurga dan sebahagian ke neraka, maka bahagian manakah saya akan berada?"

Berkata Hassan Al Basri "Itu juga soalan ghaib."

Rabiatul bertanya lagi "Kalau seseorang itu masih kabur dalam empat masalah ini, maka bagaimanakah dia akan menyibukkan diri dengan perkahwinan?" Tambahnya lagi "Wahai Hassan, jawablah berapa bahagiankah Allah swt menciptakan akal?"

Berkata Hassan Al Basri "Sepuluh bahagian. Yang sembilan bahagian untuk kaum Adam dan yang satu bahagian untuk kaum Hawa."

Setelah mendengar jawapan Hassan Al Basri, maka Rabiatul Adawiyyah menyoal lagi, "Wahai Hassan, berapa bahagiankah Allah menciptakan syahwat?"

Hassan Al Basri menjawab "Allah swt menciptakan syahwat juga sepuluh bahagian, sembilan bahagian untuk kaum perempuan dan satu bahagian untuk kaum lelaki."

Akhirnya Rabi'ah berkata "Wahai Hassan, saya sahaja boleh menjaga sembilan bahagian daripada syahwat itu dengan satu akal, jadi mengapa kamu tidak boleh menjaga satu bahagian syahwat dengan sembilan bahagian akal?"

Apabila Hassan Al Basri mendengar kata-kata yang cukup berkesan itu, maka menangislah Hassan Al Basri dan terus keluar dari rumah Rabiatul Adawiyyah :')

(Miskaatul Anwar)

Lihat sahaja,
 Duhai puteriku,
Gadis buta syahid kerana Tuhannya,
Gentar dirinya,
 Menjadi fitnah dunia.

Rabiatul Adawiyah,
 Menyekat fitrah diri,
Demi meraih cinta Illahi.

Kita yang lemah ini,
Mengapa masih jahil di tampok lama?
Hanya memikirkan kesibukan dunia,
Walhal akhirat lebih utama.

Ingin sekali aku melihat muslimah, 
Persis Rabiatul Adawiyah,
Di bibirnya menyebut kalimah Allah,
Di hati dan fikirannya hanya rindu jannah,
Atau secantik gadis buta itu,
Yang menyerahkan mata, 
Demi menolak pesona dunia.

Duhai saudariku,
Kita tidak mampu,
 Menjadi setabah Saidatina Fatimah,
Atau sepintar serikandi Aisyah,
Atau semurni kasih Khadijah,
Sekental iman Asiah,
Sekukuh cinta Uqbah,
Apatah lagi sehebat Rasulullah saw,
Yang tabah, pintar, cekal menghadapi musibah.

Kita hanya mampu,
 Menjadi diri sendiri,
Berlandaskan syariat di hati,
Meletakkan qudwah hasanah ini, 
Sebagai garis panduan memajukan diri.

Semoga kisah ini mejadi teladan,
Ibrah kepada insan,
Dunia itu penjara bagi mukmin,
Namun syurga bagi kafir,
Jangan kerap mempersoalkan, 
Mengapa Allah banyak memerintah,
Nanti kelak rosak aqidah,
Bukan Islam menyekat fitrah,
Namun duhai muslimah,
 Jangan disalurkan fitrah,
Ke jalan yang salah,
Nanti kelak murka Allah.



Kata-kata Ibnu Qayyim meresap di jiwa: 

"Wahai yang bersemangat lemah! Sesungguhnya jalan ini jalan Allah pada-Nya. Nuh menjadi tua, Yahya dibunuh, Zakaria digergaji, Ibrahim dilemparkan ke api yang membara, Muhammad diseksa dan anda menginginkan Islam yang mudah mendatangi kedua-dua kakimu?" 

-Ibnu Qayyim-


Sedikit perkongsian mengenai Ratu Syahadah iaitu Asiah, si isteri Firaun dalam menghadapi kekejaman suaminya. Selamat mendegar ^_^

♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

LAGU: ABU HANIFAH

Tajuk: Abu Hanifah
Genre: Nasyid Arab
Komposer: Wardah Filzatunnafsi


ABU HANIFAH

Tiada Tuhan selain Allah, tiada Tuhan selain Allah, tiada Tuhan selain Allah...
Tiada Tuhan selain Allah, tiada Tuhan...Selain...Ya Allah...

Nu'man bin Thabit,
Lahirnya di Kufah, Iraq,
Tahun 80 Hijrah,
Zaman Abdul Malik Bin Marwan.

Dari Bani Ummayyah,
Berketurunan Parsi,
Bapanya menjual kain,
Berkehidupan mewah,
Abu Hanifah,
Al-Imam Abu Hanifah.

Sesungguhnya sifat peribadi,
Imam yang terpuji,
Rajin usaha bermatlamat tinggi,
Qiamullail tiap hari,
Orangnya gemar beri nasihat,
Sangatlah pemurah,
Berguru dengan Anas bin Malik.

Wafatnya di dalam penjara,
Ketika 70 tahun,
Di Baghdad,
Zaman Abu Jaafar Al-Mansur,
Dari Bani Abbasiyyah,
Dikubur di Hizran di Bahgdad di Iraq,
Sempena nama anaknya Hanifah (gelarannya),
Dan kuat beribadah.

Hanafi mazhab Uthmaniyyah,
Ulama awwalun yang susun Fiqah,
Kitabnya terunggul,
 Al-Fiqh Al-Akbar,
Faraid...

Abu Hanifah,
Al-Imam Abu Hanifah.


♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

KUKETANDUSAN KASIH SAYANG ITU


Kuketandusan Kasih Sayang Itu

Sahabat,
Izinkanku lukiskan hatiku,
Dalam memahami hatimu,
Pinjamkanku waktu yang singkat ini,
Untukku kongsikan kedukaan ini,
Kerana di balik tulisan ini,
Kuyakin pasti kaurasa,
Rasa yang sama,
Mencoretkan jiwamu yang sedang lara,
Lemah dan tak bermaya,
Di sebalik penyusunan kata,
Hati kita.

Sahabat,
Hapuskan air matamu,
Kutahu tatkala lalu pasti kaunangis di balik selimut,
Teresak-esak dan tersedu-sedan di kamar syahdu,
Tanpa ada sesiapapun yang pedulikanmu,
Ketahui masalah dan isi hatimu,
Atau mungkin kaurayu di tikar sejadah, 
Tatkala doa dipohon dan ditadah,
"Wahai Tuhanku yang Maha Mulia,
Kuketandusan kasih sayang daripada mereka,
Paparkanlah kasih sayang-Mu padaku,
Mereka tidak pedulikanku,
Sedangkan kuperlu kasih sayang,
Kusangat perlukan kasih sayang,
Jikalau bukan daripada mereka, 
Sungguh kuharapkan-Mu."

Wahai temanku,
Hapuskan air matamu,
Kumengerti isi benakmu,
Kumengerti mengapa kaudamba cinta wanita,
Kerana ibumu kurang paparkan kasih sayangnya,
Di hari-harimu hanya dihadiahkan kata-kata cuka dan nista,
Tiada kebaikan yang nampak,
Hanya keburukan yang tersingkap pulak,
Amat kauperlukan kasih sayang,
Kerana tidak puas merasakan diri disayang,
Teringin sekali engkau dibelai,
Dengan sentuhan hati seorang perempuan,
Jikalau bukan daripada ibumu,
Kaucari cinta baru,
Daripada seseorang seumpama itu.

Sahabat,
Kusama sahaja sepertimu,
Dahagakan kasih sayang itu,
Lalu kumengerti mengapa selalu kaubicara mengenai jejaka,
Lantas kudiamkan cuma,
Kutahu ayahmu ada yang bernikah dua atau tiga,
Adapun yang bernikah satu,
Jarang pula mengambil perhatianmu,
Terkadang selalu tiada di rumah,
Dengan ibumu pula dia bertelagah,
Tidak menghiraukan masalah yang membelenggumu,
Ibarat kau hanya sepatu,
Digunakan hanya bila perlu,
Ditanggalkan pabila tidak mahu,
Kaudambakan cinta jejaka,
Yang tulus ikhlas mengambil berat,
Kerana kaudahagakan kasih itu,
Kasih sayang daripada abahmu,
Atau boleh kukatakan salah sahabatmu jua,
Mungkin akulah salah seorang sahabat itu,
Kerana tatkala diminta bantuan,
Kaum Hawa tidak mahu menghulurkan tangan,
Sebaliknya jejaka yang tampil ke hadapan.

Duhai kawanku,
Jangan menangis lagi,
Kutahu mengapa sikapmu keras,
Kerana kaumahu sembunyikan hatimu yang lembut,
Jiwa yang sentiasa sedih di dalam,
Kaucuba nafikan rasa sakit itu,
Di sebalik air wajahmu,
Terkadang banyak kaubicara,
Kerana mahu menarik perhatian,
Agar sahabatmu curahkan kasih sayangnya padamu,
Atau kaubiasakan diam diri,
Bukan berniat mahu memencilkan diri,
Kerana kaumahu sahabat itu yang mulakan dahulu,
Bicara dan ambil berat akan hal ehwalmu,
Kerana kauperlukan kasih sayang,
Kasih sayang yang tidak kaukecapi,
Ketika di rumah. 

Sahabatku,
Kukagum melihatmu,
Walaupun kau kurang kasih sayang keluarga,
Kau mampu berdiri utuh di kaki sendiri,
Kau tidak terlalu bermanja,
Kaubangkit berdikari,
Meneroka bandar dengan sendiri,
Kaupergi ke sana ke mari,
 Tanpa mengharapkan bantuan di sisi,
Kautahu keluargamu susah,
Terkadang tidak punya kereta,
Yang ada hanya rumah murah,
Melancong dan bersiar-siar juga tidak pernah,
Kaucekal berjalan tanpa bantuan,
Mengumpul wang dalam tangan,
Kau tersangat kuat sahabatku!
Kerana kaulukiskan kekuatan itu,
Melalui tingkah lakumu.

Jikalaupun kau hidup mewah,
Kau tidak bergantung pada ibu dan ayah,
Kautahu mereka tidak punya banyak masa,
Untuk meluangkan saat berkeluarga,
Kaugagahkan diri jua,
Mengharungi kesibukan dunia,
Tanpa meminta-minta agar dibantu dan dimanja.

Sahabatku,
Yang paling buatku terharu,
Walau kau kurang kasih sayang,
Kau tidak meminta-minta untuk disayang,
Kausekat nafsumu dalam mengejar cinta dunia,
Walau kau punya rasa cinta,
Kautahan jua,
Kerana takutkan perbuatan zina,
Meski jauh di sudut hatimu,
Jiwamu meronta-ronta sengsara,
Mahu diusap dan dibelai manja,
Oleh lawan jantina.

Sahabatku,
Aku hormati pendirianmu,
Kau tidak pernah menagih simpati,
Daripada sahabatmu yang lain agar berbudi,
Kerana kau sudah biasa lakukan semuanya sendiri,
Kau juga tidak paparkan sikap mahu dipuja dan dipuji,
Kerana kau sudah lali dengan ayat caci,
Kauteruskan hidupmu jua,
Walau batinmu sengsara.

Malah kaukuatkan hatimu,
 Dengan doa dan zikir pujian,
Kaugagahkan hati memuji Tuhan,
Aku tabik sekali padamu,
Kau masih bertahajud untuk memohon kekuatan,
Masih bergantung harap pada Tuhan,
Meski terkadang kauputus asa,
Terkadang diburu iblis dengan rasa kecewa,
Terkadang kau stress,
Dibebankan kerja sekolah, kampus dan hal dunia,
Walaupun pernah sesekali kautanya,
"Mengapa kudiuji sedemikan rupa?"
Namun kaubalik semula kepada Tuhan,
Memohon seribu satu kekuatan,
Kerana kausedar,
Kasih sayang itu bukan milik mutlak seseorang insan,
Tetapi milik abadi Tuhan.

Kautahu keluargamu tidak mampu memberikan kasih sayang itu,
Ibu dan bapamu tiada yang memahamimu,
Kakak dan abangmu sibuk dengan dunianya,
Adik pula masih kecil dan tidak mengerti apa-apa,
Tiada yang bertanya perihalmu,
Tiada yang memahami fitrahmu,
Kau terlalu harapkan kasih sayang itu,
Sakinah keluarga bahagia,
Kau sering berdoa kepada Allah,
"Kukurang kasih sayang daripada mereka ya Allah,
Janganlah pula Engkau kurangkan kasih sayang-Mu padaku."

Sahabatku,
Kutahu punca itu,
Semuanya bermula daripada mereka,
Porak perandanya sebuah keluarga yang dibina,
Kerana itu kau jadi begini,
Sebab itu kausikap begini,
Namun harus kautahu juga,
Allah sedang mahu kaukumpul pahala,
Dengan setiap kesabaranmu dalam menghadapi ujian-Nya,
Kauperoleh nikmat pahala yang tidak disangka-sangka,
Pedulikan apa yang dikatakan insan,
Mereka tidak memahamimu,
Mereka tidak tahu corak benakmu,
Mereka tidak pernah alami situasi seumpamamu,
Namun jika ada penambahbaikan,
Beerti Allah sedang memberimu teguran,
Dengan kasih sayang-Nya melalui insan.

Terkadang kausoal wahai temanku,
"Apakah solusi kekusutan ini?"
Sebenarnya telah lama kautemui,
Dalam dirimu sejak azali lagi,
Fitrah manusia itu dalam dirinya ada kebaikan,
Kuyakin kau pasti mahukan keluarga bahagia di masa hadapan,
Memperoleh pasangan beriman dan menyejukkan hati,
Mendapat anak-anak yang menjadi permata hati,
Kaumahukan keluarga yang punya biah solehah,
Mahukan anak-anak yang soleh dan solehah,
Kau pasti tidak mahu mengikuti lenturan ibubapamu,
Yang tersilap langkah membentuk tingkah anak,
Yang mengabaikan agama sebagai pasak keluarga bahagia.

Solusinya cuma satu,
Baikkan dirimu,
Dekatkan cintamu hanya pada yang Satu,
Tuhan segala sesuatu,
Soleh dan solehahkan dirimu seboleh yang mampu,
Kerana pembentukan individu itu,
Bermula daripada pemilihan pasangan hidupmu,
Kemudian lahirlah keluarga harapan,
Impian setiap insan.

Duhai sahabatku,
Kau sangat kuat!
Kukagum denganmu,
Kuamat mengerti jiwa dan ragamu,
Kerana kujuga rasakan hal yang sama,
Mungkin kaumalu mahu luahkan perasaanmu,
Yang sakit dan meronta itu,
Kerana kau kurang percaya pada mereka,
Insan yang tidak pernah berusaha,
 Menyediakan kasih sayang padamu dengan secukupnya,
Setidaknya di balik tulisan ini,
Kau mampu tersenyum,
Hatimu sedikit puas,
Seolah-olah ringan sedikit, 
Bebanan yang digalas.

Sahabatku, 
Maafkanku jika belum lagi menjadi teman yang terbaik,
Ampuni diriku jika jarang-jarang mengambil perhatianmu,
Kadang-kadang tidak mendengar permasalahanmu,
Sebenarnya,
Aku jua sepertimu,
Masih ketandusan kasih sayang itu.

Namun sahabatku,
Sejujurnya kuamat mengagumimu,
Pintaku teruslah melukis kekuatan,
Jangan berhenti di persimpangan jalan mencari Tuhan,
Kerana di sebalik kekuatan itu,
Tersimpan sebuah harapan,
Harapan kebahagiaan, 
Menuju syurga impian :)


"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar" 
(Surah Al-Ahzab, ayat 35)

♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

ANDA LELAKI SOLEH/LELAKI BERAGAMA?


Anda Lelaki Soleh Atau Lelaki Beragama?

Basmallah. Lazimnya ana akan berbicara mengenai akhowat, namun hari ini ana ingin sentuh berkenaan ikhwan. Ana ingin berbicara mengenai prespektif akhowat terhadap ikhwan iaitu isu yang kerap berlegar-legar dalam minda akhowat berkenaan ikhwan hadhari pada masa ini. Ana berharap para ikhwan yang mungkin sedang membaca entri ini berlapang dada dengan pandangan kami. Sudah terlalu lama isi hati ini dipendam, namun baru saat ini ingin diluahkan. Dewasa ini, kami (akhowat) melihat terlalu ramai lelaki yang beragama, namun lelaki yang benar-benar soleh boleh dihitung dengan jari sahaja. Mengapa ana mengatakan sedemikian? Bukankah soleh itu sangat abstrak? Hanya Allah berhak menilai kesolehan dan kesolehahan seseorang. Padahal, hanya Allah yang mengetahui hati-hati mukmin seperti firman-Nya:

"Dan Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka zahirkan" (Surah Al-Qasas, ayat 69)

Ya! Ana tahu tu. Ini hanya luahan hati kami sebagai muslimah melihat pada perilaku dan karakter lelaki-lelaki beragama pada masa ini. Lelaki yang beragama mudah dicari tetapi lelaki soleh sukar ditemui. Ikhwan yang menuntut di sekolah pondok, maahad dan tempat hafalan Quran terlalu ramai. Ana akui ikhwan yang sangat aktif sebagai ketua BaDaR, penolong ketua BaDaR, ahli BaDaR dan memegang tampok yang hebat-hebat di sekolah menengah dan universiti juga terlalu ramai serta mudah dicari. Persoalannya, berapa keratkah yang beristiqamah mengamalkan ilmu yang dipelajarinya semasa berada dalam biah solehah setelah melangkah ke alam universiti? Berapa ramaikah yang menjaga hati dan ikhtilat dalam muamalat? Berapa ramaikah yang menjaga pandangan sebagaimana yang diperintahkan Tuhan?

Jadi, bagaimanakah yang didefinisikan sebagai lelaki soleh itu pada kaca mata Illahi? Jom telusuri entri ana pada hari ini. Bagaimana pula lelaki beragama boleh tidak soleh dalam konteks agama?


Berdasarkan gambar di atas, ana yakin antum juga berpendapat seperti ana bahawa lelaki seperti di atas amat sukar dicari, namun tidak mustahil untuk dijumpai. Lelaki seperti inilah yang digambar soleh kerana mereka gharib iaitu asing dan sangat jarang ditemui. Kita sendiri memahami hadis Rasulullah saw:

"Islam datang dalam keadaan asing dan ia akan kembali menjadi asing sebagaimana kedatangannya, maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (HR Muslim dalam Kitab Al-Iman)

Ana juga akui manusia tidak lepas daripada melakukan kesalahan, namun peluang untuk berhijrah itu masih terbuka luas selagi nyawa bukan di hujung halkum. Secara literalnya, ana ingin tekankan beberapa karakter yang sangat sukar ditemui pada ikhwan masa ini, walaupun hakikatnya telah terlalu ramai antara mereka yang sudahpun mempunyai basic dan tarbiah agama. Oleh itu, ana boleh simpulkan lelaki yang soleh kepada beberapa kategori.

  • Pertama, lelaki yang soleh ialah lelaki yang takutkan zina.
Setinggi langit manapun ilmu si ikhwan dalam bidang agama, sekuat manapun thafaqahnya dalam ilmu-Nya, sedhabit manapun hafalan Qurannya, jika dia tidak mampu mengawal hati, perasaan dan nafsu, tidak mampu menjaga pandangan mata yang menipu, masih tidak takut pada pembukaan zina, masih tidak gentar melakukan dosa, maka dukacita dimaklumkan...
Dia bukanlah lelaki soleh.

Hujahnya:

1) Sekadar lelaki beragama tetapi tidak menjaga hati

Ana terkesan apabila ada sahabat ana mengadu mengenai seorang ikhwan yang kerap menghantar pesanan ringkas kepadanya mengenai tazkirah agama, ayat Quran dan hadis. Ukhti itu mengadu pada ana bahawa dia tidak suka pada ikhwan yang acap kali mengganggunya melalui sms dan ruangan chat di muka buku. Alhamdulillah, mujurlah sahabat ana ini memang jenis yang tidak melayan ajnabi. Paling mengecewakan ana, apabila mengetahui bahawa ikhwan itu ialah salah seorang anak muda yang sedang menghafaz Quran di tempat yang mempunyai biah solehah. Apakah tujuan si ikhwan menghantar pesanan ringkas mengenai tazkirah dan ayat Quran bagai kepadanya? Mahu mentarbiah akhowat dengan ilmu agama? Atau mahu memikat dengan menggunakan ilmu agama yang ada? Jika mahu mentarbiah sekalipun, tidak perlulah untuk kaum Hawa. Bukankah ramai lagi kaum Adam yang perlu dibimbing? Mereka yang pemabuk tegar, kaki mengorat, tidak mahu solat dan kaki zina itu sepatutnya yang perlu ditarbiah bukan seperti sahabat ana yang sudah lengkap menjaga syariat ini.

Satu lagi kes di mana sahabat ana menunjukkan ana mengenai pesanan ringkasnya:

"Awak, sudah sombong ye. Tak nak layan saya lagi." 

"Awak, sorrylah tak sengaja tadi. Maafkan saya ye. Saya terpukul je."

Gulp! Ana terkedu dan diam seribu bahasa. Mujur lelaki itu 'terpukul' sahabat ana dengan menggunakan buku, kalau dia bersentuhan kulit dengan sahabat ana sendiri tanpa berlapik, lebih menyeramkan! Difahamkan, lelaki itu dibesarkan dan dihidupkan dalam biah solehah. Keluarganya orang bangsawan dan pernah beberapa kali ke Timur Tengah dan negara barat untuk mendalami ilmu agama. Ana berbicara dalam hati: 
"Macam ni ke perangai ikhwan yang berada di sekolah agama dulu? 
"Yang belajar mengenai agama?" 
"Lelaki soleh suka main mesej ye?"

Ana bukanlah mahu memihak lebih kepada sahabiah yang belajar di sekolah menengah harian kerana ana juga pernah menuntut di sekolah agama walaupun seketika. Tetapi kelihatannya lebih ramai penuntut sekolah biasa berusaha menjadikan agama sebagai pegangan hidup yang syumul dalam kehidupan mereka setelah melangkah ke alam universiti berbanding para pelajar lepasan sekolah agama.

Situasi ketiga di mana sahabat ana (muslimat) dipelawa oleh seorang hafiz agar menumpang keretanya untuk ke masjid. Memang ada ramai muslimat dalam kereta itu, namun sahabat lelaki kan ramai mengapa muslimat juga yang diajak? Bukankah boleh mengundang fitnah kepada agama? Ana bukan mahu berbicara mengenai soal syadid, namun seeloknya kita jauhi fitnah. Jaga pakaian agama yang telah dibawa sejak dari sekolah dahulu. Alangkah buruknya, jika orang-orang yang beragama sebegini menjadi virus kepada Islam sehingga menyebabkan Islam difitnah.

2) Sekadar lelaki beragama tetapi tidak menjaga pandangan

"Katakanlah wahai Muhammad kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan." (Surah An-Nur, ayat 30)

Ana cukup kecewa apabila melihat sebahagian ikhwan (lelaki beragama) sering duduk lepak-lepak bersama kawan-kawan perempuan. Duduk bersebelahan tanpa segan silu seolah-olah tiada orang yang memerhatikan. Turut gelak ketawa apabila mendengar dan melihat ada rakan-rakan dengan beraninya mengorat perempuan-perempuan yang cantik dan rupawan malah bersama-sama sekali membualkan mengenai kaum Hawa dalam kalangan ikhwan. Astragfirullah! Mana pergi iman antum semua? Nafsu sudah bertakhta dan merajai jiwa?

Ana juga terkesan apabila banyak kaum Adam yang bertanya kepada ana:

"Ukhti, boleh berikan cadangan bagaimana mahu menasihati kawan ana (perempuan) yang terlalu sosial? Dia tidak memakai tudung"

"Boleh berikan pendapat bagaimana mahu menarik kaum muslimat ini lebih dekat kepada Islam? Patutkah ana berbaik dengannya terlebih dahulu?" 

Soalan ini ditanya oleh lelaki yang beragama, bukan calang-calang orang. Thafaqah ilmunya agak tinggi. Maaflah. Pandangan ana begini sahaja. Dalam ikhtilat lelaki dan perempuan tiada istilah ukhuwwah fillah, sahabat kerana Allah, teman akrab hingga ke jannah. Gender memang kerap memikirkan mengenai berlainan gender. Sahabatku, apa kata mulai dari hari ini, gender memikirkan cara mengeratkan ukhuwah untuk berdakwah sesama gender sahaja. Kaum Adam mencari jalan penyelesaian bagaimana mahu menyelesaikan masalah kaum Adam seperti kaki lepak, kaki ushar awek, malas solat, malas ke masjid dan sebagainya. Biar kaum Hawa sendiri memikirkan alternatif dakwah untuk menarik minat muslimat agar lebih kenal Islam seperti golongan yang sosial, gemar mendedahkan aurat dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama kita sama-sama bergerak, insyaAllah ikhtilat lebih terjaga. Pasti dakwah akan lebih berkesan.

Mengapa mahu menutup aib orang tetapi dalam masa yang sama membuka pintu zina? 
Simpanlah tarbiah antum semua hanya untuk isteri kelak cuma. Hati wanita ini mudah tersentuh apatah lagi jika diusik dengan ayat-ayat berbunga dan ayat-ayat agama. Kami memang mahukan lelaki beragama sebagai imam rumahtangga kerana itu fitrah manusia, namun bukan dengan begini caranya. Mungkin niat antum baik tetapi ingatlah niat tidak menghalalkan cara. Lebih baik hindar dan cegah sebelum parah. Zina itu mula daripada mata, turun ke hati dan anggota bakal memulakan segalanya. Nauzubillah min zalik! Minta kita semua dihindarkan daripadanya.

Ana teringat pesanan sahabat ana dalam biografinya:

"Wahai muslimah, peliharalah dirimu daripada sebarang bentuk ancaman kaum Adam. Wanita solehah itu tidak memandang dan dipandang. Di bibirnya tidak meniti nama-nama lelaki dan di bibir-bibir lelaki tidak meniti namanya. Ingatlah, meski lelaki itu seorang abid, seorang alim, ustaz, hafiz, tabligh, faqih dan ulama, dia tetap lelaki yang bernafsu kerana nafsunya hanya satu iaitu pada kamu."

  • Kedua, lelaki yang soleh ialah lelaki yang cintakan masjid.
"Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk berzina dengannya, lalu dia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya dan orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)

Ramai ikhwan yang hatinya kini sudah tidak berpaut pada masjid. Mungkin masalah hati yang memberatkan mereka untuk mencintai rumah Allah kerana ramai juga akhi sekarang yang terlibat dalam cinta akhi-ukhti. Mereka lebih senang mendirikan solat di bilik atau rumah. Bukanlah tidak baik mendirikan solat di kamar atau rumah, namun mencintai masjid itukan sunnah Nabi. Di situlah tempat bermulanya tarbiah dan tazkirah. Usrah dan hati-hati yang mencari Allah semuanya berhimpun di situ. Mushollah dan masjidlah tempat lelaki-lelaki soleh gemar berhimpun, tadhabbur Quran dan menyuburkan iman. Ana yakin lelaki beragama ini tentu tahu akan perihal itu, namun tinggal tidak diamalkan sahaja dalam kehidupan. Sudah belajar agama, mana mungkin tidak tahu faedahnya.

Bukankah ilmu tanpa amal seperti pohon yang tidak berbuah?
Ilmu bila 'amal kash syajaru bilas samar?

Ana teringat kisah anak teruna Saidina Abu Bakar yang diminta Abu Bakar untuk menceraikan isterinya kerana isterinya melalaikannya ke masjid sehingga terlupa untuk menunaikan solat. Lihatlah! Betapa galakan ke masjid itu sangat besar untuk kaum Adam sehinggakan Abu Bakar sendiri meminta anaknya menceraikan isterinya akibat tidak mahu ke masjid. Hal ini jelas membuktikan bahawa masjid memang tempat yang sangat digalakkan bagi kaum Adam untuk beribadah, bukannya di kamar dan bukannya di rumah. Semoga segala kemewahan dunia tidak melalaikan para ikhwan untuk kerap kali ke masjid.

"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertampuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik." (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Alangkah indahnya jika Solat Subuh berjemaah dipenuhi dengan lelaki-lelaki soleh di masjid-masjid. Pasti Yahudi kelak suatu hari nanti ditewaskan dengan mudah.

  • Ketiga, lelaki yang soleh ialah lelaki yang menangis kerana Allah.
Mudah untuk kita ketahui bahawa kaum Adam amat mahal mengalirkan air mata.
Hanya peristiwa yang terlalu menyiat jiwa sahaja yang mampu menyebabkan air itu mengalir dari peraduan mata mereka. Namun alangkah indahnya, jika lelaki soleh mudah mengalirkan air mata kerana dosa-dosanya kepada Allah. Menangis kerana terlalu rindukan Allah. Hati yang keras sukar menangis tetapi hati yang lembut disirami dengan nur (cahaya) Illahi mudah tersentuh dengan ayat-ayat Tuhan, mudah bergetar tatkala kalimah Allah dibisikkan. Sesungguhnya, orang yang berhati lembut itu sangat mudah menitiskan air mata tatkala mengingati Dia, sebaliknya hati yang keras sukar tersentuh dengan peringatan Allah, kalis usrah, kalis tazkirah. Semoga hati kita lembut dalam mengingati kebesaran dan keagungan Allah.

  • Keempat, lelaki soleh ialah lelaki yang berjihad pada usia muda.
"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela agama Allah nescaya Allah akan membela kamu untuk mencapai kemenangan dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad, ayat 7)

Lelaki yang belajar agama mudah untuk ditemui, namun lelaki yang berjihad dengan menggunakan ilmu agama yang dipelajarinya amat sukar untuk dilihat pada masa ini. Banyak lelaki suka menghabiskan masa menuntut ilmu tanpa menyampaikannya pada orang lain. Ana sedikit kesal apabila proses pemilihan ahli biro dakwah dalam kampus yang ana belajar terlalu sedikit disertai oleh kaum lelaki. Ana pula terpaksa menagih simpati pada ikhwan untuk menyertai medan jihad kerana kaum Adam teramatlah diperlukan dalam menjalankan aktiviti dakwah. 

Bukankah sepatutnya Ar Rajal Qowwamun Alan Nisa'?
Lelaki pemimpin kaum perempuan?

Apabila diminta pada lelaki-lelaki yang beragama ini supaya sama-sama membantu memperjuangkan Islam, mereka hanya utarakan jawapan:

"Maaf, ana sudah penat di sekolah dahulu. Biarlah ana belajar dulu. Habis degree nanti baru ana usahakan." 

Allahurabbi! Bagaimana jika antum mati esok hari, sempat lagi mahu habiskan degree? Apa yang akan antum jawab sebagai bekalan di barzakh nanti? Allah tidak tanya berjayakah antum menangkan Islam? Namun Allah menyoal apa yang telah antum buat untuk memperjuangkan Islam? Paling tidak untuk Islam? Allahu...Allah...

Dakwah bukan bermaksud biar saya tunjukkan kamu jalan yang sepatutnya kamu tuju. Tetapi dakwah didefinisikan sebagai jangan jadi seperti saya yang dahulu. Manusia tidak mungkin akan memberi nasihat tanpa pengalaman. Setiap orang ada zaman jahiliah masing-masing dan peringkat-peringkat untuk berubah. Ana berani katakan golongan yang dahulunya kaki zina, pemabuk tegar dan kaki ponteng solat ketika mereka telah diberi hidayah oleh Allah, mereka lebih terdorong untuk melaksanakan amar makruf nahi munkar. Bahkan, mereka jauh lebih hebat daripada sekelompok manusia yang memang dibesarkan dalam biah solehah sejak dari kecil lagi.

Buktinya ialah:
 Sham Kamikaze, Irma Hasmi, Yat, Heliza Helmi, Maher Zain, Iwan dangdut.

Mereka semua merupakan daie yang hebat jika hendak dibandingkan dengan sekelompok pelajar agama yang dahulunya belajar di Timur Tengah, namun setelah pulang ke tanah air tidak melakukan apa-apa untuk ummah.

  • Kelima, lelaki soleh ialah lelaki yang berakhlak mulia.

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.” (Surah Al-Ahzab, ayat 21)


Lelaki yang soleh bukan sahaja lelaki yang beriman dan beragama, malah lelaki yang mengamalkan akhlak-akhlak mulia. Mereka menjadikan Rasulullah saw sebagai Qudwah Hasanah. 

Lelaki soleh,
Cintanya ditekankan hanya pada Allah,
Jalannya tertunduk mahu menjaga pandangan dan hati yang diisi tarbiah, 
Kasihnya difokuskan pada ibu dan ayah, 
Bukan pada yang lawan halal baginya, 
Akhlaknya subhanAllah sangat mahmudah,
Dengan nafsunya dia tidak kalah,
Imannya mantap dan akidahnya tidak goyah,
Ikhtilatnya masyaAllah,
Dijaga rapi, tak dipandang mudah,
Pada wanita dan pangkat dia tidak layu lemah,
Lelaki soleh bukan lelaki yang beragama cuma,
Lelaki soleh ialah lelaki yang berakhlak mulia,
Berlandaskan syariat dan ilmu-Nya,
Dia putera agama,
Pembela nasib bangsa,
Menangis kerana cinta-Nya,
Tidak mudah hanyut tenggelam,
 Ketika penyakit wahan menyerang,
Dia mujahid di alam dunia,
Dia bakal penghuni syurga.


Ana terperanjat apabila mendengar sahabat ana (ikhwan), lelaki yang dahulunya belajar Arab Tinggi, dibesarkan dengan tarbiah agama yang secukupnya mencarut dan bercakap perkara lagha di dalam kelas, meninggi suara terhadap akhowat dan amarahnya tersangatlah buas. Ana tahu hidayah itu milik Allah, namun tanpa diusahakan manakan cahaya itu datang bergolek sendiri? Ketika Allah telah memberi peluang menghirup cahaya Illahi dengan tarbiah Islam yang hakiki, tetapi dengan sewenang-wenangnya antum buang dan mengelakkan diri? Jikalau demikian rupa, sungguh antum orang-orang yang rugi.


Ana berbicara menggunakan hati berpandukan akal yang memimpin diri. Bukan kami mahu condem kaum lelaki. Akhowat beragama juga tidak dinafikan ramai yang sebegini, namun kami (akhowat) sudah bimbang melihat kaum lelaki. Lelaki soleh seolah-olah semakin sukar untuk ditemui, sebaliknya wanita solehah pula yang semakin bertambah saban hari. Ampun dan maaf ana pinta jika terkasar tutur dan kata. Semoga entri ini bukan menjadi peluntur semangat, namun sebagai suntikan paragogi untuk antum terus memajukan diri. Antum kaum hebat! Jadilah lelaki soleh yang didambakan umat, dirindukan syurga dan diimpikan muslimat. 


Wahai lelaki soleh, berjuanglah untuk agama! 
Wahai lelaki soleh, berjuanglah selamatkan ummah! 
Wahai lelaki soleh, berjuanglah selamatkan agama Allah!
Wahai lelaki soleh, berjuang dan tetap berjuanglah!

Kulihat muslimin soleh semakin berkurang,
Kulihat muslimin soleh semakin hilang,
Padahal telah tersusun letaknya,
Kaulah pembimbing ummah,
Peneraju usaha dakwah,
Kaulah imam untuk muslimah.

Seandainya tiada lagi lelaki soleh,
 Siapa lagi yang mahu menjadi penggerak aktiviti dakwah?
Siapa lagi yang mahu selamatkan ummah?
Siapa lagi wahai lelaki soleh?

Wahai lelaki soleh, berjuang dan tetap berjuanglah! 
Pimpinlah sahabat-sahabat sefikrah dan sejantina denganmu! 
Bimbinglah sahabat-sahabat sejantina denganmu!
Agar bergerak menyampaikan risalah Allah!

Supaya agama indah terbela, mawar berduri ada imamnya.



♥ Hidup akan lebih indah andai diterangi hidayah ALLAH ♥

Copyright@All right reserved by Wardah Filzatunnafsi